CEO Batik Air Malaysia, Chandran Rama Muthy mengadap Tunku Besar Tampin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CEO Batik Air Malaysia, Chandran Rama Muthy mengadap Tunku Besar Tampin

KUALA LUMPUR 17 April - Anak kelahiran Tampin yang mencipta nama di peringkat antarabangsa Datuk Chandran Rama Muthy hari ini mengadap Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin, Kol.(K) Tunku Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri, dalam suasana penuh mesra.

 

Tunku Syed Razman berkata kedatangan Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Batik Air Malaysia tersebut amat bermakna kerana ia membuktikan bahawa anak watan Tampin juga berupaya untuk menempa nama termasuk dalam sektor penerbangan.

 

Tunku Syed Razman menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian tersebut serta menyeru lebih ramai anak Tampin yang berjaya dalam pelbagai bidang untuk tampil berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka.

 

“Diharapkan perkongsian pengalaman dan kejayaan mereka akan menjadi motivasi untuk lebih ramai anak-anak muda dan pelajar di Tampin berusaha lebih gigih demi menggapai cita-cita serta masa depan yang cemerlang,” kata beliau  di majlis mengadap di Balai Kediaman Rasmi YTM Tunku Besar Tampin hari ini.

 

Turut hadir Mantan Pengurus Kanan  Keselamatan Operasi PETRONAS di Iraq (di kawasan Garraf, Wilayah Thi Qar)  Zaharudin Abd Hamid yang juga anak kelahiran Tampin dan isteri Dato' Ruhaidini Abd Kadir, yang merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) merangkap Pengerusi VFive Media Ads dan Pengerusi Violet Pacific Media Ads. 

 

Majlis turut disertai Pegawai Bahagian Penterjemahan dan Bimbingan di Masjid al-Haram, Makkah al-Mukarramah, Sheikh Haji Muhammad Jamil Mujahed; Pengasas dan Pengarah Urusan Teraju Construction Sdn Bhd Fakhrul Nazhi Hanaffi dan Pengasas dan Pengarah Urusan Emreka Group Sdn Bhd Mohd Kasarudin Suudi.

 

Tunku Syed Razman turut menasihatkan anak-anak Tampin yang menerajui jabatan kerajaan serta agensi swasta untuk kembali menyumbang kepada pembangunan di Tampin agar ia turut mencapai kemajuan seperti  bandar-bandar lain di dalam dan luar negara.

 

Sementara itu Chandran, 46, berkata beliau tidak akan melupakan pengalaman beliau ketika membesar dan belajar di Tampin kerana ia membantu membentuk jati diri dan ketahanan untuk berhadapan dalam pelbagai cabaran.

 

“Pelbagai cabaran yang berlaku termasuk konflik di Timur Tengah menuntut kekuatan minda serta keupayaan untuk merencana semula perniagaan agar mampu bertahan,” kata graduan Teknolgi Penguruan Universiti Teknologi Malaysia serta pemegang Ijazah Sarjana Teknologi Perisian Sains Komputer Universiti Robert Gordon, Scotland.

 

Dalam suasana santai tersebut, Tunku Syed Razman turut membawa Dato' Chandran melawat kawasan Balai Kediaman Rasmi beliau yang banyak menyimpan pelbagai sejarah. - DagangNews.com