CelcomDigi dijangka catat keuntungan lebih rendah bagi FY2025 berikutan tekanan kos operasi, pertumbuhan terhad - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CelcomDigi dijangka catat keuntungan lebih rendah bagi FY2025 berikutan tekanan kos operasi, pertumbuhan terhad - penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Nov – CelcomDigi dijangka meraih penurunan pendapatan bagi tahun kewangan 2025 berikutan pertumbuhan pendapatan yang terhad selain tekanan kos operasi yang berterusan, menurut penganalisis.

 

Penganalisis berkata, pendapatan perkhidmatan CelcomDigi  hanya meningkat sedikit, manakala segmen prabayar dan beberapa segmen utama lain menghadapi penurunan atau pertumbuhan yang lemah. 

 

Kos trafik, penyelenggaraan, dan peruntukan kerugian kredit yang tinggi dilihat sebagai faktor utama yang menjejaskan margin dan keuntungan syarikat.

 

Maybank Investment Bank menjangkakan penurunan keuntungan bersih CelcomDigi kira-kira 10% bagi FY25 berbanding anggaran sebelumnya.

 

“Keuntungan bersih CelcomDigi bagi 3Q25 adalah RM341 juta, menurun 22% berbanding suku sama tahun lalu dan suku sebelumnya. 

 

“Penurunan ini mencerminkan tekanan daripada kos bahan, trafik, dan peruntukan kerugian kredit yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

“Segmen pendapatan perkhidmatan meningkat 1.3% QoQ dan 1.5% YoY, disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam perkhidmatan borong dan gentian optik rumah. Walau bagaimanapun, margin EBITDA 3Q25 merosot kepada 43.1% daripada 44.6% pada suku sebelumnya akibat kos trafik dan penyelenggaraan yang lebih tinggi,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sinergi penggabungan CelcomDigi dijangka memberi impak ketara bermula tahun kewangan 2027, dengan penjimatan opex tahunan dijangka sekitar RM800 juta. 

 

Bagaimanapun, sebarang pemangkin pertumbuhan jangka pendek masih terhad, menjadikan unjuran pendapatan dan keuntungan bersih lebih sederhana.

 

Dalam konteks dividen, CelcomDigi mengumumkan pembayaran 3.6 sen bagi 3Q25, tidak berubah berbanding 3Q24. 

 

Nisbah pembayaran bagi suku ini ialah 124%, menunjukkan komitmen syarikat untuk mengekalkan dividen walaupun menghadapi tekanan margin.

 

ARTIKEL BERKAITAN: CelcomDigi catat untung bersih RM341.23 juta bagi suku ketiga 2025

 

MBSB Research pula berkata, PATAMI 3QFY25 sebanyak RM400.3 juta, hanya menurun 2.1% YoY, menunjukkan kestabilan keuntungan yang relatif walaupun terdapat cabaran operasi CelcomDigi. 

 

“Kenaikan kos rangkaian termasuk kos 5G dan perbelanjaan operasi lain memberi kesan kepada margin keuntungan syarikat.

 

“Pendapatan perkhidmatan meningkat kepada RM2,728 juta, naik 1.5% YoY, tetapi segmen prabayar mencatat penurunan sebanyak 4.1% YoY kerana jumlah pelanggan terus menyusut,” kata firma itu dalam nota kajiannya.

 

Segmen pascabayar menunjukkan pertumbuhan 5.3% YoY dengan jumlah pelanggan yang stabil.

 

Segmen gentian optik rumah pula mencatat pertumbuhan 62.5% YoY, manakala perkhidmatan perusahaan mengalami penurunan 7.5% disebabkan pengurangan jumlah SMS pukal dan penyesuaian satu kali mengikut MFRS. 

 

MBSB Research berkata, peningkatan pendapatan dalam beberapa segmen lain tidak cukup untuk menampung penurunan segmen prabayar.

 

MBSB Research juga menekankan bahawa cukai efektif yang lebih tinggi mengurangkan keuntungan bersih terkini CelcomDigi. 

 

“Bagi 9MFY25, PATAMI mencecah RM1,268.3 juta, menurun sedikit 1.2% YoY. Kenaikan cukai ini disebabkan ketiadaan insentif cukai hijau, peruntukan cukai tahun sebelumnya yang tidak mencukupi, serta aset cukai tangguh.

 

MBSB Research mengekalkan saranan Neutral dengan harga sasaran RM3.67 dan melaporkan prestasi kewangan 9MFY25 CelcomDigi berada selaras dengan jangkaan, menyumbang 73.6% daripada unjuran penuh FY25. 

 

Dividen konsisten 3.6 sen bagi 3QFY25 menyokong minat pelabur untuk mengekalkan pegangan saham. - DagangNews.com