KUALA LUMPUR 17 Nov – CelcomDigi Bhd mencatat keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM341.23 juta pada suku ketiga (3Q) yang berakhir 30 September 2025, berbanding RM436.98 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Operator rangkaian mudah alih itu menyatakan penurunan keuntungan disebabkan kos operasi yang lebih tinggi dengan jumlah kos meningkat 10.4 peratus atau RM168 juta, terutamanya akibat kos berkaitan trafik yang lebih tinggi dan peruntukan lebih besar bagi kerugian kredit dijangka.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, hasil pula hampir tidak berubah pada RM3.12 bilion — menurun RM1.64 juta berbanding tahun sebelumnya disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam hasil perkhidmatan pascabayar serta perkhidmatan rumah dan gentian optik.
Bagi sembilan bulan pertama 2025, syarikat merekodkan penurunan keuntungan bersih kepada RM1.16 bilion daripada RM1.22 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM9.51 bilion daripada RM9.40 bilion sebelumnya.
Dalam satu kenyataan media, CelcomDigi berkata, hasil perkhidmatan meningkat 1.5 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM2.73 bilion didorong oleh prestasi baik di semua segmen terasnya iaitu pascabayar, prabayar, rumah dan gentian optik, serta penyelesaian perusahaan.
"Ini mencerminkan pelaksanaan pasaran syarikat yang berkesan serta fokus berterusan dalam memberikan nilai kepada pelanggan.
“Pengurusan kos yang berdisiplin membantu mengurangkan kesan peruntukan lebih tinggi bagi hutang ragu-ragu, kos barang dijual, susut nilai dan pelunasan serta kadar cukai efektif yang lebih tinggi bagi suku berkenaan,” katanya.
Pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) menurun 16.0 peratus y-o-y kepada RM648 juta manakala keuntungan selepas cukai (PAT) merosot 20.5 peratus y-o-y kepada RM350 juta menunjukkan fokus syarikat terhadap ketahanan kewangan jangka panjang walaupun sedang membuat pelaburan berterusan.
CelcomDigi menutup suku tersebut dengan sejumlah 20.5 juta pelanggan.
Syarikat mendedahkan bahawa integrasi dan pemodenan rangkaian telah mencapai lebih 90 peratus setakat akhir September 2025, membolehkan pelanggan menikmati kualiti perkhidmatan yang dipertingkatkan melalui rangkaian pintar CelcomDigi yang dinaik taraf.
Purata penggunaan data bulanan meningkat kepada 40 gigabait (GB) bagi setiap pengguna mencerminkan permintaan tinggi untuk sambungan berkelajuan tinggi dan boleh dipercayai, disokong oleh sambungan 4G/5G paling luas, terpantas dan selamat di Malaysia.
Dalam pada itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty berkata, prestasi 3Q menunjukkan kekuatan pelaksanaan syarikat dan impak inisiatif pengurusan kos yang berdisiplin.
Beliau menjelaskan bahawa keuntungan jangka pendek merosot disebabkan pelaburan strategik syarikat yang direka untuk memperkukuh kapasiti pendapatan masa depan dan menyokong pertumbuhan jangka panjang.
“Inisiatif integrasi dan transformasi teknologi maklumat kami berjalan lancar, meningkatkan pengalaman pelanggan dan memastikan perkhidmatan yang lancar di semua titik sentuh.
“Dengan asas yang kukuh ini, kami yakin akan memulakan tahun kewangan 2026 dengan kuat, seterusnya menyampaikan pertumbuhan, inovasi dan nilai lebih kepada pelanggan serta negara,” katanya.
Sementara itu, CelcomDigi mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak 3.6 sen sesaham (sama seperti 3Q 2024), yang akan dibayar pada 23 Disember 2025. -- BERNAMA








