KUALA LUMPUR 9 Mac - CCK Consolidated Holdings Bhd memberitahu kemudahan pemprosesan makanan baharu di Jawa Tengah, Indonesia dijangka beroperasi pada separuh pertama 2026 (1HCY26).
Syarikat pembekal ayam bersepadu terbesar di Sarawak itu berkata, selain meningkatkan kecekapan operasi kemudahan baharu itu juga akan membuka saluran jualan baharu di pasaran serantau.
Ketika ini, kumpulan berkenaan mengendalikan kilang pembuatan produk makanan diproses di Pontianak, Kalimantan Barat yang bersempadan dengan Sarawak serta di Jakarta.
"Bagi tahun kewangan berakhir 2025 (FY25), hasil daripada operasi pembuatan kumpulan di Indonesia yang melibatkan fasiliti di Pontianak dan Jakarta meningkat 4.1% kepada RM221 juta.
"Sumbangan tersebut mewakili kira-kira 21% daripada jumlah hasil kumpulan sebanyak RM1.05 bilion bagi tempoh sama," kata syarikat itu dalam Laporan Kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Menurut CCK, pembangunan fasiliti di Jawa Tengah dijangka memanfaatkan saiz pasaran yang lebih besar memandangkan wilayah tersebut mempunyai populasi sekitar 5.77 juta penduduk.
Jumlah itu jauh lebih besar berbanding populasi Pontianak yang dianggarkan sekitar 750,000 orang menjelang 2026.
Bagi menampung peningkatan permintaan pengguna di Pontianak, CCK sebelum ini telah membuat pelaburan besar dalam pembinaan kilang pembuatan dan pusat logistik baharu yang merangkumi rumah sembelihan ayam, kemudahan penyimpanan sejuk serta barisan pemprosesan makanan hiliran.
Barisan pengeluaran tersebut menghasilkan pelbagai produk termasuk sosej, burger dan bebola daging.
Kemudahan yang mula beroperasi pada 2021 itu telah meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan ketara serta menyokong pertumbuhan jumlah jualan produk diproses kumpulan di Indonesia.
Menurut CCK, permintaan terhadap produk makanan diproses keluaran sendiri di pasaran Indonesia kekal kukuh. - DagangNews.com








