CapitaLand jangka jualan sederhana 2Q2026 kesan konflik Timur Tengah - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CapitaLand jangka jualan sederhana 2Q2026 kesan konflik Timur Tengah - CGSI

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 April - CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) menjangkakan jualan penyewa dan trafik pengunjung pada suku kedua 2026 akan sedikit sederhana, walaupun masih berdaya tahan susulan ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah, kata CGS International.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan turut menjangkakan kos elektrik akan terus meningkat, namun pada kadar terkawal.

 

"Syarikat kekal berwaspada terhadap risiko tekanan berterusan sekiranya konflik geopolitik berlanjutan dan mula memberi kesan lebih besar kepada sentimen pengguna serta kos operasi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurut angguan geopolitik semasa telah mula mempengaruhi corak perbelanjaan pengguna secara berhati-hati, namun impaknya masih belum terlalu ketara terhadap prestasi keseluruhan portfolio setakat ini.

 

CapitaLand mencatatkan peningkatan keuntungan bersih teras kepada RM48.1 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QTK26), naik 7% suku ke suku dan 28% tahun ke tahun, sekali gus disifatkan sejajar dengan jangkaan pasaran.

 

Prestasi tersebut merangkumi kira-kira 27% hingga 28% daripada anggaran penuh tahun kewangan 2026, disokong oleh sewaan perolehan kasar (GTO) yang lazimnya lebih kukuh pada suku pertama.

 

Bagi suku dalam tinjauan, CapitaLand turut mengumumkan pengagihan pendapatan seunit (DPU) sebanyak 1.36 sen, meningkat 6% berbanding tempoh sama tahun lalu, selari dengan pertumbuhan keuntungan.

 

Dalam perkembangan berkaitan, CGSI menaikkan unjuran DPU bagi tahun kewangan 2026 dan 2027 masing-masing sebanyak 7% dan 6%, mengambil kira jangkaan kadar penghunian dan kadar sewa lebih tinggi bagi aset industri baharu.

 

Sejajar itu, harga sasaran turut disemak naik kepada RM0.81 sesaham, dengan saranan ‘Tambah’ dikekalkan, disokong oleh jangkaan hasil dividen menarik sebanyak 8.4% bagi 2026.

 

CapitaLand juga dilihat mendapat manfaat daripada pendedahan kepada pusat beli-belah berkualiti tinggi seperti Gurney Plaza dan Queensbay Mall, yang dijangka terus mencatatkan prestasi kukuh dari segi kadar penghunian dan semakan sewa dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Antara risiko utama termasuk kemungkinan pembaharuan pajakan yang tidak menjadi serta kenaikan kadar faedah yang tidak dijangka, manakala pemangkin pertumbuhan termasuk potensi pemerolehan aset baharu dan peningkatan jualan penyewa. - DagangNews.com