KUALA LUMPUR 30 Mac – Capital A Berhad melantik Effendy Shahul Hamid sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 6 April 2026, dalam usaha memperkukuh barisan kepimpinan ketika syarikat memasuki fasa pertumbuhan seterusnya.
Beliau adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pengguna Kumpulan dan Perbankan Digital CIMB dan bekas Pengerusi TNG Digital.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Capital A berkata pelantikan Effendy itu akan menambah kekuatan Kumpulan terutamanya dalam menentukan keputusan strategik dan penyelarasan ekosistem.
Ia juga bagi memastikan pelaksanaan yang kukuh dan mampan merentasi pelbagai perniagaan Capital A ketika kumpulan itu memperluas pertumbuhan di peringkat serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes berkata pengalaman dan gaya kepimpinan Effendy menjadikannya calon sesuai untuk fasa pertumbuhan baharu syarikat.
Beliau berkata, Effendy merupakan seorang pengendali berpengalaman dengan rekod prestasi terbukti serta memahami bagaimana ekosistem mampu mencipta nilai, selain berupaya menyatukan pasukan ke arah matlamat yang jelas dan menghasilkan keputusan yang nyata.
“Pada tahap ini, kami mahu bergerak lebih jauh dan lebih pantas dalam semua perniagaan berasaskan inovasi digital, dan Effendy membawa pengalaman serta perspektif yang kami perlukan. Saya menjangkakan beliau dapat memberi impak dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan.
Selepas melupuskan perniagaan penerbangannya kepada AirAsia X Berhad pada Januari 2026, Capital A kini memberi tumpuan kepada pengembangan dan penskalaan perniagaan teras lain, termasuk Asia Digital Engineering (MRO), Teleport (logistik), AirAsia MOVE (platform mobiliti dan perjalanan), AirAsia Next (pengurusan jenama dan harta intelek) serta Santan (makanan dan minuman).
Sementara itu, Effendy menyifatkan pelantikan tersebut sebagai peluang yang sukar dilepaskan, memandangkan potensi untuk menjana nilai melalui penggunaan teknologi yang unggul dan pengembangan ekosistem.
Beliau berkata, syarikat masa depan perlu mempunyai keupayaan tersebut dan beliau tertarik dengan pendekatan Capital A yang selari dengan pandangannya.
Effendy turut menyatakan hasrat untuk kembali mendalami pembelajaran dengan bekerjasama rapat bersama CEO syarikat dalam kumpulan Capital A bagi membuka potensi tinggi perniagaan masing-masing.
Selain itu, beliau juga berhasrat memanfaatkan pengalaman dalam sektor perkhidmatan kewangan untuk membentuk tawaran dalam ruang tersebut bagi kumpulan, dengan memanfaatkan akses ekosistem dan kes penggunaan sedia ada sebagai platform untuk mempamerkan masa depan segmen berkenaan.
Effendy mempunyai lebih dua dekad pengalaman kepimpinan serantau merangkumi perbankan, transformasi digital, kerjasama strategik dan pembangunan ekosistem.
Sepanjang 21 tahun bersama CIMB Group, beliau menerajui francais runcit serantau, memimpin agenda perbankan digital serta memacu pelaburan dan kerjasama strategik, termasuk mentransformasikan Touch ‘n Go menjadi platform pembayaran digital terkemuka melalui usaha sama dengan Ant Group.
Beliau memulakan kerjaya dalam pembangunan korporat dan perbankan pelaburan dengan fokus kepada penggabungan dan pengambilalihan serta inisiatif pengembangan perniagaan. - DagangNews.com








