KUALA LUMPUR 28 Nov – Keputusan kewangan tidak diaudit Capital A Berhad menunjukkan pemulihan operasi yang kukuh dan momentum positif di seluruh perniagaan kumpulan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3Q2025).
Kumpulan mencatat keuntungan operasi bersih (NOP) sebanyak RM305 juta, meningkat ketara daripada RM19 juta tahun lepas, dengan EBITDA sebanyak RM1.13 bilion daripada pendapatan RM5.26 bilion, sekaligus mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) RM66 juta bagi suku berkenaan.
AirAsia Aviation Group terus memacu pemulihan
Pendapatan utama sebanyak RM4.45 bilion menyaksikan sedikit penurunan 2% YoY, terutamanya disebabkan permintaan yang lemah di Thailand.
Walaupun terdapat tekanan margin sedikit, EBITDA meningkat 76% YoY kepada RM1.02 bilion, dengan margin meningkat 10 mata peratus kepada 23%, dipacu oleh kos bahan api lebih rendah, normalisasi kos penyelenggaraan, serta usaha penjimatan kos yang berterusan.
Kumpulan mencatat NOP sebanyak RM264 juta, beralih daripada kerugian RM42 juta pada 3Q2024, dengan operasi di Indonesia dan Kemboja kembali mencatat keuntungan.
Jika tidak termasuk Thailand, prestasi asas menunjukkan pertumbuhan pendapatan 3% YoY, margin EBITDA 30%, dan margin NOP 14%, menunjukkan keberkesanan struktur yang dibina semasa pandemik.
Dari segi operasi, faktor muatan kekal pada 83%, walaupun kapasiti meningkat 7% YoY kepada 87% paras pra-pandemik, dicapai dengan perbelanjaan pemasaran yang lebih berdisiplin.
Tambang purata dan RASK sedikit menurun kerana tumpuan Thailand kepada laluan domestik, manakala pendapatan tambahan kekal kukuh pada RM50 setiap penumpang, menyumbang 18% daripada jumlah pendapatan. Kos operasi per unit (CASK) menurun 12% YoY, mencerminkan keberkesanan kawalan kos.
Dua pesawat tambahan diaktifkan semula, menjadikan jumlah armada aktif 208 daripada 225 pesawat, bersedia untuk pertumbuhan lebih tinggi pada 2026.
CEO Kumpulan, Bo Lingam berkata, pihaknya menjangkakan penutup tahun yang kukuh, disokong oleh peningkatan perjalanan bermusim, pemulihan pasaran Thailand dan permintaan meningkat dari China.
"Strategi pengembangan di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina sudah menunjukkan hasil, dengan faktor muatan lebih tinggi dan pendapatan tambahan lebih kukuh. Dengan pengaktifan pesawat hampir lengkap, kami bersedia memasuki 2026 dengan armada lebih produktif dan penguasaan pasaran lebih tinggi."
Sementara itu, CEO Capital A, Tony Fernandes berkata, 3Q25 menunjukkan momentum nyata di seluruh Capital A. ADE bersedia ke peringkat serantau, Teleport berkembang di Asia, MOVE menerajui OTA bajet dan AirAsia Next berpotensi menjadi platform AI dan kesetiaan pelanggan unik.
"Dengan hampir lengkapnya pengaktifan pesawat dan PN17 di depan mata, kami menutup bab restrukturisasi dan beralih sepenuhnya ke fasa pertumbuhan. Capital A kini lebih kukuh dan berharga, dan kami optimis dengan masa depan." - DagangNews.com








