Capital A agihkan 1.69 bilion saham AAX sebagai langkah terakhir penstrukturan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Capital A agihkan 1.69 bilion saham AAX sebagai langkah terakhir penstrukturan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov – Capital A Berhad akan mengagihkan 1.69 bilion saham baru AirAsia X Berhad (AAX) kepada pemegang sahamnya melalui ‘dividen-in-specie’ sebagai sebahagian daripada langkah terakhir penstrukturan semula syarikat tersebut.

 

Langkah itu adalah sebahagian daripada penjualan perniagaan penerbangan Capital A kepada AAX, yang menyatukan semua syarikat penerbangan jenama AirAsia di bawah satu entiti tunggal dan membuka jalan bagi transformasi Capital A menjadi kumpulan pelancongan dan digital.

 

Pemegang saham yang tersenarai dalam rekod deposit setakat 5 petang, 3 Disember akan menerima kira-kira 389 saham AAX bagi setiap 1,000 saham Capital A yang dimiliki. Saham yang diagihkan tidak memerlukan sebarang bayaran.

 

Tarikh ex-dividen adalah pada 2 Disember 2025 dan sebarang hak pecahan saham tidak akan diambil kira.

 

Ketua Pegawai Kewangan Capital A, Mun Hui Teh berkata, penetapan tarikh hak itu adalah satu pencapaian penting dalam fasa terakhir penjualan perniagaan penerbangan yang menandakan penyatuan penuh semua syarikat penerbangan AirAsia di bawah AAX. 

 

“Penyusunan semula strategik ini memberikan nilai secara langsung kepada pemegang saham dan meletakkan Capital A pada kedudukan kukuh untuk pertumbuhan seterusnya sebagai kumpulan pelancongan dan digital yang berfokus tinggi.

 

“Selepas penyatuan, AAX akan beroperasi sebagai satu entiti penerbangan tunggal dengan fokus mengembangkan rangkaian penerbangan kos rendah di rantau ini dan seterusnya. 

 

“Sementara itu, Capital A akan menumpukan kepada pengembangan lima perniagaan utama iaitu bahagian kejuruteraan ADE, penyedia logistik Teleport, platform pelancongan AirAsia MOVE, jenama makanan dan minuman Santan dan bahagian lesen jenama serta harta intelek AirAsia Next,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Penstrukturan semula ini dijangka diselesaikan pada bulan Disember dan selepas itu Capital A merancang untuk memohon keluar daripada status PN17, selaras dengan matlamat syarikat untuk memacu pertumbuhan mampan dan meningkatkan nilai jangka panjang bagi pemegang saham. - DagangNews.com