Cahya Mata Sarawak lancar projek Clinker Line 2 bernilai RM673 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cahya Mata Sarawak lancar projek Clinker Line 2 bernilai RM673 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Dis – Cahya Mata Sarawak Berhad (Cahya Mata) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Cahya Mata Cement Sdn Bhd. hari ini memulakan pembinaan Clinker Line 2 di Mambong, Kuching dengan pelaburan berjumlah RM673 juta.

 

Majlis pecah tanah disempurnakan oleh Premier Sarawak Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Openg, menandakan langkah strategik Kumpulan dalam memperkukuh keupayaan pengeluaran simen di negeri ini.

 

Fasiliti baharu ini dijangka mempunyai kapasiti pengeluaran 6,000 tan metrik sehari, sekali gus meningkatkan jumlah pengeluaran klinker tahunan Cahya Mata Cement daripada 900,000 tan metrik kepada 1.9 juta tan metrik. 

 

Pengembangan ini bukan sahaja memperkukuh bekalan simen tempatan, malah mengurangkan kebergantungan kepada import, selaras dengan usaha Kumpulan memodenkan kapasiti pengeluarannya.

 

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib pelaburan ini menjadi tunjang utama bagi Cahya Mata untuk memacu fasa pertumbuhan seterusnya. 

 

"Pembinaan Clinker Line 2 membolehkan Kumpulan beroperasi dengan kecekapan lebih tinggi, mengadaptasi teknologi bersih, serta memperluas kapasiti pengeluaran selaras dengan hala tuju pembangunan jangka panjang Sarawak," katanya dalam kenyataan.

 

Clinker Line 2 akan dilengkapi teknologi moden dan cekap tenaga, termasuk Waste Heat Recovery System (WHRS) yang mampu menjana sehingga enam megawatt tenaga bersih, serta sistem penapisan habuk canggih yang mengurangkan pelepasan lebih separuh daripada had peraturan sedia ada. 

 

Teknologi ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi sambil menurunkan jejak alam sekitar Kumpulan.

 

Kerja pembinaan dijangka siap dalam tempoh dua tahun, dengan sasaran operasi penuh pada suku kedua 2027.

 

Apabila beroperasi, fasiliti ini akan membekalkan klinker kepada semua loji pengisaran Cahya Mata Cement di Sarawak, mengukuhkan sistem pengeluaran bersepadu Kumpulan.

 

Projek ini dikendalikan oleh Sinoma Industry Engineering (M) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Tianjin Cement Industry Design & Research Institute (TCDRI), China, yang dilantik sebagai kontraktor EPCC (Engineering, Procurement, Construction and Commissioning) bagi projek berkenaan.

 

Cahya Mata Cement telah beroperasi di Sarawak sejak 1974, mengendalikan tiga loji pengisaran simen di Kuching dan Bintulu, serta terminal pengedaran di Sibu dan Miri, menjadikan Kumpulan antara pengeluar simen utama di negeri itu. - DagangNews.com