KUALA LUMPUR 25 Nov – Cahya Mata Sarawak Berhad (Cahya Mata) mencatatkan prestasi kukuh bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (3QFY25), apabila kumpulan itu melaporkan peningkatan hasil serta pemulihan ketara dalam keuntungan berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut kenyataan syarikat, Cahya Mata merekodkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM48.1 juta pada suku berkenaan, melonjak 306% daripada kerugian sebelum cukai RM23.4 juta yang direkodkan pada 3QFY24.
Pertumbuhan ini dipacu peningkatan hasil, margin kasar operasi yang lebih baik serta kerugian pertukaran asing tidak direalisasi yang lebih kecil bagi penilaian semula pinjaman pemegang saham di dalam SBU Fosfat.
Prestasi lebih kukuh itu turut disokong oleh peningkatan keuntungan dalam SBU Simen, Penyelenggaraan Jalan, serta Pembangunan Hartanah, selain sumbangan kukuh daripada usaha sama kumpulan.
SBU Simen kekal penyumbang utama
Dalam segmen simen, PBT meningkat 24% kepada RM46.8 juta, dipacu harga klinker import yang lebih rendah dan peningkatan kecekapan operasi. Segmen ini terus menjadi penyumbang utama kepada hasil kumpulan.
SBU Penyelenggaraan Jalan turut mencatat prestasi menggalakkan apabila PBT meningkat 107% kepada RM7.1 juta, hasil pesanan berterusan dan penyempurnaan kerja bagi projek Instructed Works.
Sementara itu, SBU Pembangunan Hartanah merekodkan pertumbuhan memberangsangkan dengan peningkatan jualan sebanyak 364% dan PBT melonjak 409%. Peningkatan ini dipacu oleh pengiktirafan hasil dan margin daripada kontrak pembinaan Borneo Convention Centre Kuching II (BCCK 2), selain jualan hartanah yang lebih tinggi.
Namun, prestasi SBU Oiltools merosot apabila hasil dan PBT masing-masing menurun RM31.2 juta dan RM7.2 juta akibat pengurangan aktiviti pelantar di kebanyakan pasaran global.
Kumpulan turut menjelaskan penyusutan dolar Amerika berbanding Ringgit Malaysia yang semakin perlahan mengurangkan kerugian pertukaran asing tidak direalisasi, sekali gus membantu meningkatkan keuntungan keseluruhan.
Selepas melaraskan kesan pertukaran asing tidak direalisasi, PBT ternormal Cahya Mata bagi Q3FY25 berjumlah RM49.1 juta, meningkat 17% berbanding RM42 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan, hasil kekal stabil pada RM798.4 juta, manakala PBT berjumlah RM69.1 juta. Aset bersih sesaham adalah RM3.16 dengan nisbah hutang rendah pada 0.07.
Prospek lebih cerah, projek baharu mula menjana pendapatan
Kumpulan menjangkakan prospek kekal positif, didorong penyusutan dolar Amerika yang dijangka mengurangkan kos rantaian bekalan.
“Kerja-kerja pembangunan Borneo Convention Centre Kuching II bernilai RM550 juta telah bermula dan dijangka menyumbang kepada prestasi dalam tempoh akan datang,” menurut syarikat itu.
Sementara itu, penyambungan semula bekalan elektrik ke loji Cahya Mata Phosphates Industries membolehkan proses ujian dan pentauliahan diteruskan pada suku keempat 2025, manakala pembinaan Mambong Clinker Line 2 dilaporkan berjalan dengan memuaskan.
Dengan pemulihan menyeluruh merentasi segmen utama, Cahya Mata optimis momentum pertumbuhan dapat diteruskan menjelang akhir tahun kewangan. - DagangNews.com








