Bursa Malaysia terajui IPO Asia Tenggara dengan nilai pasaran RM1.9 trilion bagi Separuh Pertama 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia terajui IPO Asia Tenggara dengan nilai pasaran RM1.9 trilion bagi Separuh Pertama 2025

KUALA LUMPUR 28 Julai - Bursa Malaysia terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam aktiviti penyenaraian awam permulaan (IPO) di Asia Tenggara, dengan mencatatkan nilai pasaran melebihi RM1.9 trilion bagi separuh pertama tahun 2025.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, pencapaian ini mencerminkan kekuatan pasaran modal negara serta keyakinan komuniti perniagaan terhadap Bursa Malaysia sebagai rakan kongsi untuk pertumbuhan jangka panjang.

 

"Penyertaan pelabur runcit kekal kukuh dan terus menjadi penyumbang utama kepada pasaran ekuiti negara.
Nilai dagangan harian purata (ADV) pelabur runcit kekal stabil sekitar RM450 juta, sejajar dengan tahap pra-COVID-19 setakat pertengahan tahun ini,"
katanya dalam ucapan pada Karnival Saham Perak 2025 yang berlangsung di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini pada Ahad.

 

Fad’l berkata terdapat lebih 113,000 atau lapan peratus pelabur runcit aktif di Perak, daripada keseluruhan 1.4 juta pelabur runcit aktif di Malaysia, dengan hampir 6,000 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) baharu telah dibuka setakat pertengahan tahun ini.

 

"Potensi Perak untuk pertumbuhan lanjut dalam pasaran modal amat tinggi dengan jumlah penduduk seramai 2.5 juta orang.

 

"Namun begitu, keutamaan kami adalah untuk melahirkan pelabur runcit yang berpengetahuan, bertanggungjawab dan yakin terhadap pelaburan mereka," katanya.

 

Bursa Malaysia turut menekankan keperluan untuk meningkatkan kesedaran terhadap isu penipuan pelaburan yang semakin membimbangkan, dengan lebih 2,000 kes telah dilaporkan oleh pihak polis dalam suku pertama tahun ini.

 

Sebagai langkah pencegahan, Bursa Malaysia memperhebatkan program literasi kewangan seperti Sens-Ability, serta menyediakan pelbagai bahan pendidikan untuk pelabur baharu dan berpengalaman.

 

"Bursa Malaysia juga memperkenalkan produk pelaburan seperti BR Capital, Bursa Gold Dinar, dan MyBursa bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen pelabur.
 

"Kami menggalakkan semua yang hadir untuk memanfaatkan sesi perkongsian ilmu dan peluang yang disediakan sepanjang karnival ini bagi membuat keputusan pelaburan yang bijak dan berinformasi," tambah beliau.

 

Karnival ini, yang julung kali diadakan di Perak, merupakan sebahagian daripada siri program yang bermula sejak 2022, selepas penganjuran terdahulu di Pahang, Terengganu dan Perlis, bagi memperkasakan literasi pelaburan dalam kalangan rakyat.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee serta Naib Presiden Bahagian Penyelidikan dan Pengkomersialan UTAR, Prof Dr Zuraidah Abd Manaf. - BERNAMA