KUALA LUMPUR 24 Nov – Bursa Malaysia Securities Berhad telah mengeluarkan teguran umum terhadap FSBM Holdings Bhd selepas syarikat itu gagal memastikan ketepatan laporan suku tahunannya bagi tempoh kewangan berakhir 30 September 2024 (QR3 2024) dan 31 Disember 2024 (QR4 2024).
Bursa Malaysia dalam kenyataan berkata, kedua-dua laporan yang diumumkan masing-masing pada 27 November 2024 dan 28 Februari 2025 didapati tidak memenuhi keperluan ketepatan sebagaimana ditetapkan di bawah Perenggan 9.35A(1)(a) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MAIN LR).
Keperluan tersebut mewajibkan setiap pengumuman awam oleh syarikat tersenarai mestilah faktual, jelas, tidak mengelirukan, tepat dan mengandungi maklumat mencukupi bagi membolehkan pelabur membuat keputusan yang berinformasi.
Perintah Semakan Terhad oleh Juruaudit Luar
Sebagai langkah pembetulan, FSBM dikehendaki menjalani semakan terhad ke atas empat laporan suku tahunan bermula tidak lewat daripada FPE 31 Disember 2025. Semakan ini wajib dilaksanakan oleh juruaudit luar syarikat.
Selain itu, FSBM turut diarahkan menilai semula kecukupan dan keberkesanan fungsi pelaporan kewangannya, bagi mengelakkan isu sama berulang.
Walaupun tiada mana-mana pengarah didapati menyebabkan atau membenarkan pelanggaran ini, Bursa mengingatkan bahawa para pengarah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pematuhan MAIN LR.
Kata kenyataan itu, Lembaga Pengarah FSBM ketika pengumuman QR3 2024 dan QR4 2024 adalah Pang Kiew Kun, Tan Wan Yen, Datuk Tan Hock San @ Tan Hock Ming, Ng Yew Soon, Mok Kar Foo, Tey Giap Turn dan Chew Sir Boon.
Pelanggaran Dianggap Serius
Teguran ini dikeluarkan di bawah Perenggan 16.19(1) MAIN LR selepas mengambil kira materialiti pelanggaran, impaknya serta rekod ketidakpatuhan FSBM sebelum ini.
Bursa Malaysia menegaskan bahawa kewajipan menyerahkan laporan kewangan yang tepat dan telus adalah asas kepada integriti pasaran modal, selain penting untuk memastikan pasaran yang adil dan teratur serta melindungi kepentingan pelabur.
Latar Belakang
Dalam laporan suku keempat tidak diaudit (QR4 2024) yang diumumkan pada 28 Februari 2025, FSBM merekodkan kerugian boleh diagihkan kepada pemilik syarikat sebanyak RM257,000.
Namun, dalam penyata kewangan diaudit bagi tahun kewangan 2024 (AFS 2024) yang diumumkan pada 30 April 2025, syarikat melaporkan keuntungan RM995,000 untuk pemilik syarikat — satu perbezaan besar sebanyak RM1.252 juta atau 487.2%.
FSBM menjelaskan pada 30 April 2025 bahawa jurang besar ini berpunca daripada kesilapan rawatan perakaunan keuntungan selepas cukai (PAT) antara pemilik syarikat dan pihak berkepentingan bukan kawalan (NCI).
Menurut FSBM, RM1.3 juta PAT tersilap dikategorikan sebagai milik NCI, manakala baki kerugian RM257,000 diletakkan sebagai milik pemilik syarikat dalam QR4 2024.
Syarikat turut menerangkan bahawa perbezaan tersebut berkaitan transaksi intra-kumpulan membabitkan subsidiari yang telah dilupuskan pada 23 Julai 2024. Pengguguran hutang subsidiari yang dilupuskan oleh FSBM sebenarnya dianggap sebagai sumbangan modal daripada syarikat induk, dan tidak sepatutnya diagihkan sebagai bahagian keuntungan NCI mengikut piawaian perakaunan.
Kesilapan yang sama turut memberi kesan kepada laporan suku ketiga (QR3 2024).
Dalam QR3 2024 yang diumumkan pada 27 November 2024, FSBM melaporkan kerugian RM221,000. Namun, selepas mengambil kira rawatan perakaunan yang betul, angka tersebut sepatutnya menunjukkan keuntungan RM1.053 juta, mewakili perbezaan RM1.274 juta atau 576%. - DagangNews.com








