Bursa Malaysia naik 70 mata sejak pembentangan RMK13 - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia naik 70 mata sejak pembentangan RMK13 - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 70 mata sehingga hari ini sejak pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Amir Hamzah yang juga memangku Menteri Ekonomi berkata, kenaikan prestasi Bursa Malaysia itu mencerminkan penerimaan pasaran terhadap RMK13.

 

“Kita mesti melihat data secara keseluruhan dan tidak bergantung pada satu titik data sahaja,” katanya ketika menggulung perbahasan usul mengenai RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.

 

Beliau menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berhubung reaksi pasaran dan Bursa Malaysia terhadap pembentangan RMK13.

 

Mengulas dakwaan bahawa RMK13 tiada faktor ‘wow’, Amir Hamzah menegaskan dokumen itu perlu diteliti secara mendalam kerana usaha merombak pembangunan tidak boleh hanya bergantung kepada dasar dan pendekatan sedia ada yang telah lama diamalkan.

 

“RMK13 menggariskan keutamaan pelaksanaan beberapa pembaharuan, termasuk merangka semula ekonomi ke arah ekonomi berasaskan penciptaan nilai serta peralihan ke arah negara berteraskan kecerdasan buatan (AI).

 

“RMK13 juga merangkumi reformasi pendidikan, reformasi pasaran buruh, reformasi perumahan, reformasi penjagaan kesihatan serta reformasi perkhidmatan awam sebagai fokus utama kerajaan,” jelasnya.

 

Amir Hamzah turut menegaskan RMK13 direka bentuk menggunakan pendekatan pelbagai dimensi berasaskan empat tonggak, bagi memastikan dasar tidak dilihat secara berasingan tetapi menekankan keterhubungan antara pelbagai aspek pembangunan.

 

“Empat tonggak itu ialah memperkukuh kepelbagaian ekonomi, meningkatkan mobiliti sosial, mempercepat reformasi perkhidmatan awam serta mempertingkat kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

 

“Tonggak ini akan disokong oleh 122 strategi, lebih 600 inisiatif dan 162 penunjuk prestasi utama negara (KPI),” katanya. - DagangNews.com