Bursa Malaysia lancarkan inisiatif Bursa RISE+ tingkatkan profil korporat syarikat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia lancarkan inisiatif Bursa RISE+ tingkatkan profil korporat syarikat

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 April — Bursa Malaysia Berhad melancarkan inisiatif Bursa Research Incentive Scheme Plus (Bursa RISE+) bagi meningkatkan profil korporat syarikat terpilih yang disokong oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF).


Usaha itu diharap dapat menyediakan orang ramai di Malaysia dengan akses kepada liputan maklumat kajian secara komprehensif yang dijalankan oleh pelbagai firma penyelidikan berlesen dan bakal dilaksanakan selama tempoh dua tahun.


Berdasarkan fasa awal inisiatif Bursa RISE dari Mac 2022 sehingga Disember 2024, ia lebih tertumpu semata-mata kepada syarikat tersenarai awam (PLC) dan berjaya meningkatkan profil sejumlah 60 PLC dengan momentum pasaran bertambah baik.


"Kali ini pula liputan adalah lebih luas, dengan turut merangkumi syarikat swasta yang ada potensi pertumbuhan, serta firma terbitan Tawaran Awam Permulaan (IPO) sebelum penyenaraian dagangan di pasaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Bursa RISE sebelum ini berjaya menambah baik pelaporan PLC tempatan secara ketara, apabila 68 peratus daripadanya menerima liputan firma penyelidikan walaupun selepas inisiatif itu berakhir pada hujung Disember 2024.


Fasa awal tersebut katanya, menawarkan pelabur dengan pandangan secara berterusan dan berharga mengenai prospek PLC yang kurang dikaji sebelum ini, serta membawa kepada penghayatan lebih baik terhadap asas penyenaraian mereka.


Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, Bursa RISE+ pula menggariskan komitmen bursa mempromosikan pasaran modal sebagai sumber pembiayaan bukan sahaja PLC, malah syarikat swasta dan firma prasenarai.


"Melalui liputan penyelidikan komprehensif, Bursa RISE+ menyasarkan untuk meningkatkan profil dan keterlihatan syarikat Malaysia dalam kalangan pelabur, serta memudahkan usaha mengumpul dana sepanjang kitaran hayat mereka," katanya.


Beliau menambah, dari perspektif lebih luas, inisiatif itu mengukuhkan tujuan Bursa Malaysia untuk menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi dengan menghubungkan perniagaan kepada modal yang mereka perlukan untuk dapat berkembang.


Bursa RISE+ kata Fad'l, turut memperluaskan liputan penyelidikannya kepada syarikat swasta yang memiliki potensi prospek pertumbuhan, meningkatkan keterlihatan serta kebolehcapaian mereka kepada pangkalan pelabur secara meluas.


Inisiatif ini juga menyokong syarikat yang dalam perjalanan ke penyenaraian awam menerusi ketersediaan laporan penyelidikan mengenai IPO akan datang di Bursa Malaysia serta membantu pelabur untuk membuat keputusan yang lebih baik.


"Bursa RISE+ menyasarkan untuk meningkatkan keterlihatan 60 PLC sepanjang tempohnya, dan 40 syarikat swasta atau firma pra-IPO setiap tahun dengan laporan dapat diakses oleh orang ramai melalui Portal Pelanggan MyBURSA," kata beliau. - DagangNews.com