KUALA LUMPUR 11 Nov - Bursa Malaysia Berhad bersama industri pembrokeran saham negara mengumumkan langkah-langkah peningkatan daya ketahanan siber bagi mengukuhkan integriti ekosistem pembrokeran saham.
Inisiatif ini digariskan dalam satu kertas cadangan yang dibangunkan sebagai tindak balas kolektif industri terhadap insiden dagangan tanpa kebenaran pada akhir April 2025.
Kertas cadangan itu merupakan hasil kerja sekumpulan industri yang ditubuhkan pada Jun 2025, melibatkan wakil daripada organisasi penyertaan (PO) berasaskan bank dan bukan bank, serta pakar keselamatan siber.
Ketua Pegawai Pengawalseliaan Bursa Malaysia, Julian M Hashim mengetuai kumpulan kerja ini yang bertanggungjawab menilai amalan keselamatan siber sedia ada, mengenal pasti kelemahan, membangunkan piawaian pengurusan risiko IT dan tindak balas insiden di peringkat industri, serta mencadangkan penambahbaikan dari segi pengawalseliaan dan operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed berkata, “Keutamaan kami adalah melindungi pelabur dan mengekalkan kepercayaan mereka terhadap pasaran sekuriti. Penambahbaikan ini menunjukkan komitmen industri bahawa langkah-langkah keselamatan siber diambil dengan serius dan amat penting.
"Dengan memperkukuh daya ketahanan siber ekosistem pembrokeran, kami sedang mengambil langkah proaktif bagi memastikan pelabur boleh berdagang dengan keyakinan, mengetahui pelaburan mereka dilindungi daripada ancaman siber.”
Sementara itu, Julian berkata, kertas cadangan ini mencerminkan janji industri untuk bertindak secara kolaboratif.
"Penambahbaikan yang digariskan direka untuk bersifat boleh dilaksanakan dan berskala, memastikan semua broker, tanpa mengira saiz atau kompleksiti, dapat mengaplikasikannya secara bermakna.”
Kertas cadangan yang difinalkan dan diedarkan kepada broker selepas sesi taklimat industri telah dikaji oleh pakar keselamatan siber bebas bagi memastikan ketahanan dan keselarasan dengan amalan terbaik.
Bursa Malaysia akan menggunakan pendekatan pengawasan dua hala untuk membimbing pelaksanaan penambahbaikan ini, iaitu meningkatkan Piawaian Keselamatan IT (ITSS) Bursa Malaysia untuk broker serta memperkukuh pengawasan terhadap Pembekal Perisian Bebas (ISV) yang menyediakan Sistem Pengurusan Pesanan (OMS).
Penambahbaikan ini selaras dengan Garis Panduan Pengurusan Risiko Teknologi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan rangka kerja Pengurusan Risiko Teknologi Bank Negara Malaysia.
Ia bertujuan meningkatkan piawaian keselamatan siber industri dengan menetapkan tanggungjawab jelas kepada broker, termasuk pengawasan berkesan terhadap pembekal perkhidmatan teknologi pihak ketiga.
Terdapat sembilan tonggak utama dalam penambahbaikan ini: kawalan akses keselamatan, pengesanan dan perlindungan ancaman, pengurusan tampalan perisian, ketahanan infrastruktur dan operasi, perancangan pemulihan, pengawasan pembekal perkhidmatan teknologi, pengurusan insiden, latihan dan kesedaran, serta penubuhan peranan keselamatan siber khusus.
Bagi tonggak yang melibatkan prosedur dan pengurusan sumber manusia, pematuhan sepenuhnya dijangka dalam tempoh tiga bulan selepas kertas cadangan dikeluarkan.
Bagi tonggak yang melibatkan perubahan sistem atau peningkatan infrastruktur, pematuhan sepenuhnya disasarkan menjelang 31 Disember 2026.
Broker yang mempunyai pertanyaan mengenai kertas cadangan boleh menghubungi [email protected]. - DagangNews.com








