Bursa Malaysia gantung jualan singkat saham YBS, keluarkan notis aktiviti luar biasa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia gantung jualan singkat saham YBS, keluarkan notis aktiviti luar biasa

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Feb — Bursa Malaysia bertindak menggantung aktiviti jualan singkat intra hari kepada YBS International Berhad sehingga Isnin depan disebabkan kes pelanggaran dalam had harga.
 

Perkembangan drastik tersebut menyaksikan harga unit saham YBS didapati turun mendadak sebanyak 22.73 peratus atau 17.5 sen kepada 59.5 sen pada pukul 10.30 pagi tadi.
 

Terdahulu, harga pembukaan sebelah pagi untuk kaunter syarikat yang terlibat dalam kegiatan pegangan pelaburan dan perkhidmatan pengurusan tersebut adalah 76.5 sen.
 

Pihak Bursa Malaysia memaklumkan dalam pemfailan hari ini bahawa penggantungan itu dilaksanakan selepas saham YBS turun lebih daripada 15 peratus daripada harga rujukan.


Dalam kenyataan berasingan pula, bursa tempatan itu turut mengeluarkan notis pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) mengenai kejatuhan harga saham yang mendadak direkodkan syarikat itu.
 

Malah bursa itu menasihatkan pelabur untuk mengambil perhatian terhadap jawapan syarikat kepada pertanyaan UMA, yang akan dipaparkan menerusi laman web Bursa Malaysia di bawah pengumuman syarikat.

 

Ia boleh dirujuk dengan melayari pautan http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/ dan langkah itu perlu diambil semasa mereka mahu membuat keputusan pelaburan tertentu.

 

YBS merupakan syarikat yang memiliki segmen dalam kejuruteraan ketepatan, pengacuan suntikan plastik, pemesinan, pengecapan, pembuatan elektronik dan produk kertas.  - DagangNews.com