KUALA LUMPUR 6 April — Bumi Armada Berhad melantik Alex Bridgen dan Luke Targett sebagai peneraju bersama syarikat susulan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Gary Neal Christenson.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu memaklumkan yang Christenson turut melepaskan jawatan ahli lembaga pengarah serta semua kedudukan dalam anak syarikat dan entiti usaha sama.
Menurutnya, beliau yang sepatutnya dijadualkan menamatkan kontrak perkhidmatannya pada 15 Mei 2026 namun memohon pelepasan lebih awal daripada jawatan tersebut.

Seiring perubahan itu, Bridgen yang juga Ketua Pegawai Operasi (COO), bersama Targett selaku Ketua Pegawai Kewangan (CFO) akan memikul tanggungjawab kepimpinan keseluruhan syarikat dan prestasinya.
"Mereka berdua turut akan melaporkan terus kepada Jawatankuasa Pengurusan Risiko lembaga pengarah," kata Bumi Armada.
Lembaga pengarah turut merakamkan penghargaan kepada Christenson atas sumbangannya sejak menyertai syarikat berkenaan pada Mei 2018.
Peralihan kepimpinan ini dijangka memastikan kesinambungan operasi serta mengekalkan fokus strategik kumpulan dalam mendepani cabaran industri minyak dan gas global. - DagangNews.com








