Buku pesanan MHB terus susut, prospek jangka sederhana dijangka kekal mencabar – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Buku pesanan MHB terus susut, prospek jangka sederhana dijangka kekal mencabar – MBSB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Nov – Malaysia Marine & Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) berdepan cabaran utama apabila buku pesanan syarikat terus menunjukkan trend penurunan sejak beberapa tahun lalu, menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaannya menambah projek baharu, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sehingga suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25), MHB hanya berjaya meraih RM572 juta nilai kontrak baharu setakat tahun ini, jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya, sekali gus menekan prospek pertumbuhan jangka sederhana kumpulan itu.

 

“Buku pesanan MHB kini berjumlah RM4.84 bilion, susut 6.5% berbanding kedudukan pada suku kedua. Daripada keseluruhan nilai tersebut, sebanyak 99% terdiri daripada segmen kejuruteraan berat manakala bakinya daripada segmen marin.

 

“Berdasarkan rekod lima tahun, trend penurunan buku pesanan nyata ketara apabila syarikat pernah menambah RM4.85 bilion projek baharu pada 2022, RM2.8 bilion pada 2023 dan RM1.73 bilion pada 2024, sebelum merosot ketara pada 2025,” kata firma itu dalam nota kajiannya.

 

Walaupun demikian, prestasi suku ketiga FY25 menunjukkan peningkatan ketara berbanding suku sebelumnya. 

 

Pendapatan meningkat 18% secara suku ke suku berikutan projek kejuruteraan yang memasuki fasa pembinaan lebih aktif, manakala keuntungan PATAMI melonjak 77.5% kepada RM27.7 juta berbanding RM15.6 juta pada suku sebelumnya. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih MHB meningkat 85.1% kepada RM28.27 juta bagi 3QFY2025

 

MBSB Research berkata, peningkatan itu bagaimanapun tidak mengubah hakikat bahawa prestasi keseluruhan sembilan bulan pertama tahun ini kekal lebih lemah berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

MHB merekodkan pendapatan 3QFY25 sebanyak RM510 juta, susut 43% tahun ke tahun, manakala pendapatan 9MFY25 berjumlah RM1.39 bilion, berkurangan 50% berbanding tahun sebelumnya. 

 

Dari segi keuntungan, PATAMI bagi tempoh sembilan bulan merosot 41.2% kepada RM58.1 juta susulan ketiadaan tuntutan kos projek luar biasa yang diterima pada 2QFY24. 

 

Tanpa faktor luar biasa itu, MBSB Research berpendapat prestasi keuntungan kumpulan adalah setanding.

 

Meskipun prospek pengembangan buku pesanan dilihat sederhana, MBSB Research mengekalkan saranan BUY terhadap MHB dengan harga sasaran RM0.46. 

 

Penilaian itu disandarkan kepada EPS FY25 sebanyak 4.4 sen dan PER 10.5 kali, yang masih berada pada diskaun berbanding purata industri.

 

Dengan harga saham semasa pada RM0.37, firma penyelidikan itu mengunjurkan potensi kenaikan sebanyak 24% didorong oleh fasa pembinaan lebih aktif pada suku keempat serta kestabilan asas keuntungan kumpulan. - DagangNews.com