Briged Para Tentera Darat Malaysia pamerkan senjata antikereta kebal baharu NLAW | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Briged Para Tentera Darat Malaysia pamerkan senjata antikereta kebal baharu NLAW

Anggota Briged Para bersama sistem pelancar NLAW yang baru dimiliki.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 6 Feb - Tentera Darat menjadi pengguna baharu sistem pelancar antikereta kebal moden, Next Generation Light Anti-Tank Weapon (NLAW) yang dibekalkan kepada pasukan 10 Briged Para.

 

Sistem pelancar itu telah dipamerkan pada majlis serah terima tugas Panglima 10 Briged (Para) di Kem Terendak, Melaka pada Selasa.

 

Pada majlis itu, Brigedier Jeneral Khairul Anwar Soib menggantikan Mejar Jeneral Dato' Khairul Azmizal Ahmad Natal sebagai panglima baharu.

 

 

Menerusi perkongsian foto dalam laman Facebook Tentera Darat menunjukkan sistem pelancar NLAW diletakkan pada kenderaan milik Kompeni Bantuan Para.

 

Meriam
Pelancar NLAW dan M73 LAW-EC yang diletakkan di atas kenderaan Kompeni Bantuan Para.

 

Difahamkan, Malaysia adalah negara pengguna tunggal sistem pelancar ini di Asia Tenggara.

 

Kompeni Bantuan Para merupakan unit kecil di dalam briged tersebut dengan peranan memberikan bantuan tembakan termasuk memusnahkan kenderaan armor dan kereta kebal.

 

NLAW menjadi senjata antikereta kebal kedua dimiliki Kompeni Bantuan Para selain M72 LAW-EC (Light Anti-Tank Weapon-Enhanced Capacity).

 

Kedua-duanya adalah jenis pelancar tembak buang yang mana NLAW mempunyai keupayaaan berbeza berbanding M72 LAW-EC.

 

Meriam

 

Meriam
NLAW yang dikendalikan oleh tentera British.

 

Pembelian NLAW bagi menggantikan sistem peluru berpandu Eryx buatan Perancis.

 

Persenjataan lain pada kompeni ini ialah mesingan berat 12.7mm, GPMG dan pelancar grenad automatik.

 

Pembelian NLAW dipercayai dibuat tiga tahun lalu walaupun ia tidak diumumkan secara terbuka oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) dengan kira-kira 500 unit pelancar dibeli.

 

Pelancar NLAW seberat 12.5 kilogram (kg) dibangunkan syarikat Saab Bofors Dynamics dan Thales Air Defence juga dikenali dengan nama Main Battle Tank and Light Anti-Tank Weapon (MBT LAW).

 

Ini kerana kepala peledak pada sistem NLAW mampu menembusi ketebalan pada perisai kereta kebal moden lantas menjadikan ia senjata pemusnah terbaik untuk infantri.

 

Meriam
Penembak boleh melepaskan tembakan pelancar NLAW melalui ruang kecil dan sempit.

 

Meriam

 

Ciri-ciri istimewa pada NLAW ialah penembak boleh memilih mod tembakan ‘Overfly Top Attack’ (OTA) atau ‘Direct Attack’ (DA) untuk sasaran bukan perisai.

 

OTA boleh dipilih terhadap sasaran berperisai dan DA terhadap sasaran bukan perisai seperti kenderaan atau tentera musuh yang berlindung di dalam bangunan.

 

Mod OTA membolehkan peluru berpandu meluncur terbang melepasi halangan sehingga pada ketinggian tertentu sebelum menghentam sasaran dari atas.

 

Ciri-ciri ini yang menjadikan NLAW sebagai senjata pembunuh kereta kebal jarak dekat yang digeruni termasuk dalam pertempuran di kawasan yang mempunyai binaan.

 

Meriam
Anggota Briged Para diberi penerangan tentang sistem pelancar NLAW.

 

Meriam
Kompeni Bantuan Para bertanggungjawab memberikan bantuan tembakan kepada anggota briged para semasa di medan tempur.

 

NLAW mempunyai reputasi yang baik sepanjang dioperasikan dalam Perang Rusia-Ukraine apabila pasukan penentang dikatakan berjaya memusnahkan banyak kenderaan armor Rusia dengan senjata ini.

 

NLAW boleh menembak ke sasaran sehingga 1,000 meter (m) dengan keupayaan berkesan pada jarak 600m.

 

Ia juga mudah dikendalikan dengan penggunaannya cuma memerlukan masa singkat untuk mengaktifkan pelancar dan melepaskan tembakan. - DagangNews.com