KUALA LUMPUR 17 Mac – Syarikat teknologi B2B eProcurement dan eMarketplace Malaysia, Borong (dahulu dikenali sebagai Dropee) sekali lagi mencatat kejayaan dengan menduduki tempat teratas dalam senarai Financial Times High-Growth Companies Asia-Pacific 2026, yang disusun bersama Statista.
Tahun ini, Borong melonjak daripada kedudukan kedua pada 2025 kepada kedudukan pertama di seluruh rantau Asia-Pasifik.
Senarai ini yang memasuki edisi tahunan ke-8 mengenal pasti 500 syarikat teratas berdasarkan kadar pertumbuhan hasil tahunan kompaun (CAGR) tertinggi antara 2021 dan 2024.
Dua Tahun, Satu Cerita Pertumbuhan Yang Konsisten
Ini merupakan kali kedua berturut-turut Borong tersenarai dalam FT High-Growth Companies Asia-Pacific dan yang paling memberangsangkan.
Setelah menduduki tempat ke-2 pada tahun 2025, Borong kini berada di kedudukan pertama pada tahun 2026 menjadikannya syarikat Malaysia yang paling konsisten mencatat pertumbuhan tinggi di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Borong, Aizat Rahim berkata pengiktirafan ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap angka pertumbuhan, tetapi juga terhadap kepercayaan klien, rakan kongsi, dan pasukan syarikat.
“Kami tidak berkembang semata-mata demi pertumbuhan, kami sedang membina infrastruktur yang diperlukan oleh rantau ini.
“Daripada memperkasakan peruncit B40 di luar bandar Malaysia sehinggalah membolehkan operasi perolehan perniagaan besar dan mengembangkan ke dalam semikonduktor dan pembinaan, Borong membuktikan bahawa perdagangan inklusif berasaskan teknologi adalah masa depan rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sejak penubuhannya pada 2017, Borong telah berkembang daripada sebuah syarikat kecil dengan hasil sekitar AS$300,000 kepada platform B2B serantau yang dipercayai oleh ribuan perniagaan.
Syarikat ini telah memperluas operasinya ke dalam sektor minyak dan gas dengan perkongsian eksklusif bersama Shell, menyokong keperluan rantaian bekalan dalam industri semikonduktor, serta menyediakan aliran kerja perolehan untuk pemaju hartanah dan syarikat pembinaan.
Borong turut bekerjasama dengan institusi kewangan untuk mendigitalkan proses perolehan dalaman dan pengurusan vendor, selain mengembangkan platformnya ke sektor pertahanan dan penerbangan.

Platform Borong menawarkan perkhidmatan untuk kedua-dua perniagaan mikro, kecil, dan sederhana serta syarikat multinasional dan Fortune 500, termasuk PETRONAS dan Shell.
Model dua hala ini membolehkan syarikat kecil bersaing dalam ekonomi digital dan pada masa membolehkan syarikat besar mengurus pengedaran dan perolehan secara lebih cekap.
Cita-cita Borong bukan sekadar komersial. Syarikat ini telah secara konsisten memperjuangkan inklusiviti ekonomi, membantu memperkecilkan jurang pendapatan Malaysia dengan memperkasakan komuniti B40, perniagaan luar bandar, dan segmen yang secara tradisinya tidak mendapat perhatian dengan akses yang lebih baik kepada barangan, perkhidmatan, dan alat kewangan.
Mandat sosial ini tertanam dalam DNA Borong dan telah mendapat pengiktirafan bukan sahaja dalam senarai perniagaan, malah sebagai penggerak perubahan positif di rantau ini.
Syarikat ini disokong oleh pelabur antarabangsa termasuk Y-Combinator, Ondine Capital, Brama One Ventures, Vynn Capital, Wide-Growth Investment, HCL Capital, Blawpark Partners dan Colopl Next Inc.
Dengan pencapaian ini, Borong terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform perolehan dan rantaian bekalan perniagaan membolehkan sektor strategik di Malaysia dan Asia Tenggara menjalankan operasi dengan lebih efisien secara digital.
Mengenai Borong
Borong (dahulunya Dropee) adalah platform eProcurement dan eMarketplace B2B terkemuka di Malaysia, ditubuhkan pada tahun 2017.
Melayani kedua-dua PKS dan pelanggan pelbagai segmen perniagaan, Borong mendigitalkan operasi perolehan, pengedaran, dan rantaian bekalan merentasi industri termasuk FMCG, Minyak & Gas, Semikonduktor, Hartanah & Pembinaan, Perbankan, serta Pertahanan & Penerbangan.
Syarikat ini beribu pejabat di Kuala Lumpur dan beroperasi di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara.
Tentang Senarai FT High-Growth Companies Asia-Pacific 2026
FT High-Growth Companies Asia-Pacific 2026 adalah inisiatif bersama Financial Times dan Statista, kini memasuki tahun kelapan. Ia menyenaraikan 500 syarikat teratas daripada 13 negara dan wilayah di rantau Asia-Pasifik berdasarkan CAGR hasil antara 2021 dan 2024.
Syarikat-syarikat dinilai berdasarkan pertumbuhan hasil organik, data kewangan yang disahkan, dan ketelusan.
Senarai penuh boleh didapati di <https://www.ft.com/content/c5a3ba72-0333-4830-8280-6bd1592e1f85>. - DagangNews.com








