Boikot berterusan pengguna terhadap Starbucks akibatkan kerugian tahunan terburuk Berjaya Food | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Boikot berterusan pengguna terhadap Starbucks akibatkan kerugian tahunan terburuk Berjaya Food

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Berjaya Food Bhd menamatkan tahun kewangan 2025 dengan prestasi suku tahunan dan tahunan terburuk sejak disenaraikan pada 2011, berikutan susut nilai ke atas rangkaian Starbucks Malaysia yang terjejas akibat boikot pengguna berpanjangan ekoran konflik Timur Tengah.

 

Kerugian bersih bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2025 melonjak kepada RM185.79 juta, hampir lima kali ganda berbanding RM38.2 juta pada suku keempat tahun sebelumnya, apabila hasil merosot 10% kepada RM115.9 juta daripada RM130.57 juta.

 

 

 

 

 

 

 

 

Prestasi lemah itu sebahagian besarnya diseret oleh caj susut nilai ke atas harta, loji dan peralatan (PPE) serta aset hak guna (ROU) berjumlah RM149.88 juta, susulan langkah mengecilkan operasi Starbucks Malaysia.

 

Syarikat tidak mengisytiharkan sebarang dividen. Bagi FY2024, ia membayar 0.44 sen sesaham dan 3.5 sen bagi FY2023.

 

Bagi keseluruhan tahun kewangan 2025, kerugian bersih kumpulan melebar kepada RM291.99 juta — lebih tiga kali ganda berbanding RM90.92 juta pada FY2024 — manakala hasil jatuh 36.5% kepada RM476.77 juta daripada RM750.7 juta.

 

 

Berjaya Food

 

 

Berjaya Food, yang mengendalikan jenama Starbucks Coffee di Malaysia dan Brunei, Kenny Rogers Roasters di Malaysia serta Paris Baguette di Filipina, berkata ia kekal menumpukan usaha mengukuhkan rangkaian kedai tempatan sambil mempelbagaikan pasaran luar negara bagi membina asas pertumbuhan mampan.

 

 

 

 

 

 

 

“Bagi prospek ke hadapan, kumpulan komited untuk mencipta nilai jangka panjang melalui inovasi, transformasi digital dan pengukuhan keterlibatan pelanggan,” katanya, sambil menambah ia berhasrat meningkatkan ekuiti jenama, memperbaiki prestasi kewangan dan memacu pengembangan antarabangsa untuk membuka nilai pemegang saham yang lebih besar.

 

Saham Berjaya Food, yang telah jatuh lebih 15% setakat tahun ini, ditutup tidak berubah pada 29.5 sen. Ini memberikan kumpulan nilai pasaran sebanyak RM564.98 juta- DagangNews.com