KUALA LUMPUR 13 Feb - Bloomberg News mempertahankan artikel yang diterbitkannya berhubung pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang kini menyaman agensi berita dari Amerika Syarikat itu.
“Kami mempertahankan laporan kami,” kata seorang jurucakap Bloomberg News dalam maklum balas kepada The Edge.
Jurucakap itu bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan lain dalam emel tersebut, menurut The Edge lagi.
Tan Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM, telah memulakan prosiding undang-undang terhadap Bloomberg susulan laporan mengenai pegangan sahamnya yang disifatkan oleh pasukan guamannya sebagai “fitnah, tidak bertanggungjawab dan amat mengelirukan”.
Peguam beliau, Tetuan Zain Megat & Murad, memaklumkan bahawa mereka telah diarahkan untuk mengambil semua tindakan undang-undang yang tersedia, termasuk tuntutan ganti rugi dan relif lain yang bersesuaian.
Kenyataan itu dibuat ketika kemarahan awam terus memuncak susulan laporan media mengenai pegangan saham Azam dalam jumlah besar dalam syarikat tersenarai awam.
Bloomberg sebelum ini melaporkan pemilikan beliau sebanyak 17.7 juta saham dalam firma perkhidmatan kewangan, Velocity Capital Partner Bhd.
Dalam sidang media yang dilaporkan oleh agensi berita nasional Bernama, Azam mengakui membeli saham tersebut pada awal 2025 sebelum menjualnya pada Julai tahun yang sama.
Pada Jumaat, Azam sekali lagi menegaskan dalam kenyataan peribadinya bahawa beliau telah membuat pengisytiharan yang diperlukan melalui saluran rasmi berdasarkan peraturan semasa yang mengawal selia pegawai perkhidmatan awam. - DagangNews.com








