BLD Group, Curtin Malaysia bekerjasama fokus penyelidikan & pembangunan bakat industri perladangan di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BLD Group, Curtin Malaysia bekerjasama fokus penyelidikan & pembangunan bakat industri perladangan di Sarawak

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 April – BLD Group  memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Curtin University Malaysia bagi memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan perladangan mampan, inovasi serta pembangunan tenaga kerja di Sarawak.

 

Kerjasama tersebut bertujuan merapatkan hubungan antara sektor akademia dan industri melalui penyelidikan bersama, projek berkaitan kelestarian, penempatan latihan industri serta peluang penglibatan industri untuk pelajar.

 

Pengarah BLD Group, Adeline Lau berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen syarikat terhadap inovasi, kelestarian dan pembangunan bakat dalam sektor perladangan, khususnya di Sarawak.

 

“Gabungan kepakaran industri dan akademia akan membolehkan pembangunan penyelesaian praktikal bagi menangani cabaran masa depan dalam sektor pertanian mampan.

 

“Antara cabaran utama industri ketika ini termasuk untuk mengoptimumkan penggunaan tanah, pemeliharaan alam sekitar, pelaksanaan amalan mampan tanpa menjejaskan daya maju komersial serta pengurangan jejak karbon.

 

“BLD Group menyasarkan untuk menjadi platform kepada pelajar Curtin bagi membina kerjaya selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan masa depan Sarawak,” katanya.

 

t
Lee (sembilan dari kiri) dan Wan Abdillah (10 dari kiri) menunjukkan dokumen MoU antara kedua-dua pihak

 

Majlis pemeteraian MoU itu diadakan di kampus Curtin Malaysia di Miri, Sarawak, yang turut disaksikan oleh wakil kedua-dua pihak serta pengurusan kanan institusi dan syarikat.

 

MoU itu ditandatangani oleh Pengarah BLD Group dan BLD Plantation Bhd, Wan Abdillah Wan Hamid serta Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Curtin Malaysia, Prof Vincent Lee Chieng Chen.

 

Sementara itu, Prof Vincent Lee berkata kerjasama tersebut merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan sektor industri di negeri ini.

 

Beliau berkata BLD Group yang mempunyai kira-kira 35,000 hektar tanah pertanian di Miri dan Sibu yang memainkan peranan penting dalam industri kelapa sawit serta pembangunan ekonomi Sarawak.

 

Menurut beliau, kerjasama itu akan menggabungkan kekuatan akademik Curtin Malaysia dengan kepakaran industri BLD bagi menyediakan platform latihan industri, pembangunan bakat, biasiswa serta program latihan profesional.

 

Selain itu, kedua-dua pihak turut meneroka kerjasama lanjut melalui dua Memorandum Perjanjian (MoA), termasuk sumbangan alat Total Organic Carbon Analyzer oleh BLD bagi tujuan penyelidikan pemantauan alam sekitar dan pengurangan gas rumah hijau.

 

Satu lagi MoA melibatkan projek penyelidikan berkaitan mineral tanah di Sarawak yang bertujuan menyokong usaha pengurangan karbon dan kelestarian tanah jangka panjang.

 

Kerjasama strategik ini dilihat mampu memperkukuh usaha pembangunan mampan sektor perladangan di Sarawak selain menyokong pembangunan bakat, inovasi dan penyelidikan jangka panjang dalam industri berkaitan. - DagangNews.com