KUALA LUMPUR 25 Mei - Syarikat penyedia penyelesaian teknologi, BINTARA Solutions Sdn Bhd (BINTARA), mengumumkan kerjasama strategik bersama Vimeo bagi memperluaskan akses kepada penyelesaian video perusahaan di Malaysia dan Singapura.
Melalui kerjasama ini, BINTARA akan memperkenalkan pelbagai penyelesaian video perusahaan Vimeo kepada organisasi termasuk syarikat korporat, institusi pendidikan dan agensi yang ingin meningkatkan keberkesanan komunikasi serta penyampaian kandungan digital.
Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pelbagai kegunaan seperti komunikasi korporat, latihan pekerja, webinar, acara maya, hosting video selamat serta pengedaran kandungan pelbagai bahasa.
Selain itu, organisasi juga berpeluang memanfaatkan keupayaan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) Vimeo.

Ini termasuk ciri terjemahan video dan sokongan pelbagai bahasa bagi meningkatkan komunikasi merentas pasaran dan audiens yang pelbagai.
Pengarah Urusan BINTARA, Nor Faiz Muhammad Noor berkata, kerjasama tersebut memperkukuh portfolio syarikat dalam bidang komunikasi perusahaan dan penyampaian kandungan digital.
Menurut beliau, langkah itu juga membolehkan BINTARA membantu organisasi menghasilkan, mengurus dan mengedarkan kandungan video secara lebih efektif dan berskala besar.
“Kerjasama ini turut mencerminkan komitmen bersama kedua-dua syarikat dalam membantu organisasi memanfaatkan video sebagai alat strategik perniagaan.
“Ini sama ada untuk kolaborasi dalaman, perkongsian ilmu mahupun penglibatan pelanggan dan komunikasi jenama dalam era digital,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Melalui anak syarikat di Singapura, BINTARA Solutions Pte. Ltd., syarikat ini turut menyokong pertumbuhan perniagaan dan penglibatan serantau di Singapura serta pasaran ASEAN yang lebih luas.
Sebagai rakan teknologi yang semakin berkembang di rantau ASEAN, BINTARA terus memperluaskan tawaran dalam bidang produktiviti awan, komunikasi bersepadu, keselamatan siber dan penyelesaian infrastruktur.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Naib Presiden Jualan Saluran dan Perkongsian Vimeo, Daina Fiddler menyatakan keterujaan pihaknya untuk bekerjasama dengan BINTARA dalam memperkukuh kehadiran Vimeo di Malaysia dan Singapura.
Beliau menambah, pengalaman pasaran tempatan serta rangkaian pelanggan yang kukuh dimiliki BINTARA menjadikannya rakan strategik yang tepat untuk memperluaskan keupayaan video perusahaan Vimeo kepada lebih banyak organisasi. - DagangNews.com








