KUALA LUMPUR 13 Feb – Bintai Kinden Corporation Berhad mencatatkan prestasi kewangan yang semakin pulih apabila merekodkan keuntungan bagi suku kedua berturut-turut untuk tempoh suku ketiga berakhir 31 Disember 2025 (3QFY26), sekali gus mengukuhkan kedudukannya ke arah permohonan untuk keluar dari status PN17.
Pada 3QFY26, kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM17.07 juta, melonjak lebih 100% berbanding RM7.54 juta pada suku sama tahun sebelumnya, disokong peningkatan projek serta pengurusan kos yang lebih berdisiplin.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Bintai Kinden berkata keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku tersebut berjumlah RM4.33 juta, mencerminkan pemulihan operasi yang berterusan selepas pelaksanaan Pelan Regularisasi pada Mei 2025.
“Segmen kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) bersama sub-segmen pembinaan kekal sebagai penyumbang utama hasil dengan pendapatan RM13.52 juta atau 79.2% daripada jumlah hasil suku tahunan.
“Segmen konsesi pula terus menyumbang pendapatan berulang yang stabil berjumlah RM3.54 juta.
“Sub-segmen pembinaan terus menyokong prestasi kumpulan, didorong oleh pelaksanaan projek yang aktif dan kecekapan operasi yang semakin baik,” katanya dalam makluman tersebut.
Dalam tempoh tersebut, kumpulan memperoleh projek pembinaan baharu bernilai RM25.20 juta, manakala satu projek berada pada peringkat pembinaan lanjutan dan satu lagi siap menjelang akhir suku.
Segmen konsesi pula menyumbang PBT sebanyak RM1.69 juta atau 39.03% daripada jumlah PBT kumpulan, sekali gus memperkukuh kestabilan pendapatan keseluruhan.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BKCB, Datuk Tay Chor Han berkata pencapaian dua suku berturut-turut mencatat keuntungan membuktikan strategi pemulihan kumpulan mula menunjukkan hasil yang positif.
Beliau berkata, prestasi operasi dalam segmen pembinaan dan M&E semakin kukuh, manakala perniagaan konsesi terus menyediakan asas pendapatan yang stabil bagi kumpulan.
Setakat 31 Disember 2025, BKCB memiliki buku tempahan berjumlah kira-kira RM4.2 juta bagi segmen M&E dan RM140.35 juta bagi segmen pembinaan.
Selain itu, kumpulan turut terlibat secara aktif dalam bidaan projek baharu dengan nilai keseluruhan RM577.81 juta yang kini dalam peringkat penilaian.
Susulan kejayaan melaksanakan Pelan Regularisasi serta merekodkan dua suku keuntungan berturut-turut, BKCB kini dalam persiapan untuk mengemukakan permohonan kepada Bursa Malaysia untuk keluar dari status PN17.
Ke hadapan, kumpulan kekal optimis secara berhati-hati, disokong oleh pertumbuhan sub-segmen pembinaan, pendapatan konsesi yang stabil serta saluran bidaan aktif dalam segmen M&E, termasuk penyertaan dalam tender Tenaga Nasional Berhad.- DagangNews.com








