KUALA LUMPUR 6 Mei - Bina Puri Holdings Bhd mengambil alih syarikat kontraktor rawatan air berpangkalan di Sarawak, Enforture (Sarawak) Sdn Bhd pada harga tunai RM100,000 berserta bayaran keuntungan berdasarkan prestasi masa hadapan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah itu memaklumkan pengambilalihan berkenaan daripada Ng Tze Wei dan Ng Qing Xiang turut melibatkan bayaran berasaskan keuntungan yang dihadkan kepada RM15 juta atau 40% daripada keuntungan bersih projek yang dikutip (mana lebih rendah).
“Cadangan pengambilalihan ini dijangka membolehkan Bina Puri mengakses platform operasi yang mempunyai pengalaman dalam kejuruteraan rawatan air, tenaga kerja projek, dokumentasi projek, kepakaran teknikal serta penglibatan dalam projek sedia ada.
“Cadangan ini juga dijangka melengkapi keupayaan pembinaan sedia ada kumpulan dan berpotensi mengukuhkan keupayaan kumpulan untuk melaksanakan atau menyokong projek infrastruktur air di Sarawak serta pasaran berkaitan,” menurut Bina Puri.
Enforture Sarawak terlibat dalam kerja-kerja rawatan air dan air sisa serta kerja-kerja mekanikal.
Menurut Bina Puri, vendor menyatakan Enforture Sarawak kini melaksanakan projek dengan nilai agregat RM192.8 juta di Julau, Song, Kapit, Saratok dan Serian.
Projek-projek tersebut dijangka menjana keuntungan sebelum cukai sebanyak RM52.9 juta dan keuntungan selepas cukai RM40.2 juta dalam tempoh dua tahun akan datang.
Bina Puri Lanjutkan Tahun Kewangan
Minggu lalu, Bina Puri mengumumkan lanjutan tahun kewangannya sekali lagi, dengan menggabungkan hampir dua tahun keputusan kepada tempoh pelaporan selama 23 bulan susulan perubahan tahun kewangan berakhir pada Mei.
Syarikat pembinaan yang dikenali melalui pembinaan KLIA2 dan projek LRT itu kini berdepan beberapa petisyen penggulungan serta sedang menjalani penstrukturan semula hutang melalui skim pengaturan dengan pemiutang.
Walaupun berdepan cabaran, kumpulan itu berjaya memperoleh subkontrak pembinaan dan naik taraf jalan bernilai RM156.45 juta di Simunjan, Sarawak bulan lalu serta kontrak pembinaan bernilai RM42.5 juta di Limbang, Sarawak pada Mac lalu. - DagangNews.com








