KUALA LUMPUR 10 Nov - Bilangan kelulusan projek baharu di bawah Perbelanjaan Pembangunan (DE) Asas dalam Belanjawan 2026 telah ditingkatken kepada 2,371 projek berbanding 1,967 projek pada tahun 2025, demi meningkatkan kesejahteraan rakyat, menurut Kementerian Ekonomi.
Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang kini memangku tugas Menteri Ekonomi berkata, hal itu berlaku kerana berlaku peningkatan peruntukan DE Asas sebanyak RM57.6 bilion berbanding RM55.7 bilion bagi tahun 2025.
"Dalam hubungan ini, peruntukan di bawah Anggaran Pembangunan Tahun 2026 berjumlah RM83 bilion dengan memberi tumpuan kepada peningkatan peruntukan DE Asas sebanyak RM57.6 bilion berbanding RM55.7 bilion bagi tahun 2025," katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2026 peringkat jawatankuasa Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan, Kementerian Ekonomi telah diperuntukkan sebanyak RM2.75 bilion pada tahun 2026.
Katanya, angka ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memacu agenda pembangunan negara, terutamanya sebagai tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
"Sebagai agensi perancangan ekonomi negara, Kementerian Ekonomi bertanggungjawab dalam pengagihan sumber bagi pembangunan sosioekonomi negara melalui pendekatan perancangan pembangunan secara insaniah, serta pengagihan yang komprehensif dan efektif.
"Selain itu, Kementerian juga bertanggungjawab melaksanakan program dan projek pembangunan yang strategik dan merentas agensi," katanya.
Amir Hamzah berkata, berdasarkan buku Bajet 2026, peruntukan pembangunan Kementerian Ekonomi adalah sebanyak RM2.115 bilion.
Katanya, angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM890.56 juta (72.7%) bagi tahun 2026 berbanding peruntukan dipinda pada tahun 2025.
"Peningkatan ini adalah disebabkan oleh beberapa projek yang telah siap dilaksanakan dan tidak lagi wujud pada tahun 2026.
"Di bawah Peruntukan Perbelanjaan Pembangunan Kementerian Ekonomi, terdapat 27 butiran utama yang merangkumi pelbagai program dan inisiatif pembangunan strategik," katanya.
Mengenai perbelanjaan mengurus, Kementerian Ekonomi telah diperuntukkan sebanyak RM632,395,100, iaitu peningkatan sebanyak 5.25% atau RM31,547,300 berbanding peruntukan belanja mengurus tahun 2025 yang berjumlah RM600,847,800.
Katanya, peruntukan emolumen sebanyak RM261,271,600 disediakan bagi menampung gaji dan upah, elaun/imbuhan tetap, sumbangan berkanun untuk kakitangan serta faedah kewangan lain bagi 3,890 orang kakitangan di bawah Kementerian Ekonomi termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
"Pertama, peningkatan utama disebabkan oleh kenaikan gaji (emolumen) di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkuat kuasa mulai Januari 2026.
"Kedua, peruntukan tambahan sebanyak RM23,711,800 diperlukan bagi menampung kenaikan 7% emolumen yang melibatkan keseluruhan 3,890 orang kakitangan di bawah Kementerian Ekonomi," katanya. - DagangNews.com








