KUALA LUMPUR 1 Dis – Nasib bidaan kasino bernilai AS$5.5 bilion (RM23.19 bilion) ditawarkan oleh Genting Malaysia Bhd di New York bakal diketahui pada 1 Disember 2025, apabila New York Gaming Facility Location Board akan mememaklumkan pemenang bagi tiga lesen kasino komersial yang menjadi rebutan sejak beberapa tahun lalu.
Keputusan kritikal itu seiring langkah syarikat induknya, Genting Bhd, yang sedang menggerakkan cadangan penswastaan bernilai RM6.7 bilion terhadap Genting Malaysia, sekali gus menjadikan antara tempoh paling penting dalam sejarah korporat kumpulan itu.
Genting Malaysia membida projek itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, Genting New York LLC, yang mengendalikan Resorts World New York City (RWNYC) di Aqueduct Racetrack, yang telah beroperasi sebagai racino lebih sedekad.
Pada 27 Jun, kumpulan itu mengemukakan cadangan rasmi untuk menukar RWNYC kepada resort bersepadu berskala penuh melibatkan kos pembangunan AS$5.5 bilion, merangkumi lantai permainan seluas 500,000 kaki persegi, 6,000 mesin slot, 800 meja permainan, 2,000 bilik hotel, venue hiburan 7,000 tempat duduk, lebih 30 premis makanan dan minuman (F&B), ruang mesyuarat berskala besar serta lebih 10 ekar kawasan hijau.
Menurut pemakluman kepada pengawal selia Amerika Syarikat, Genting Malaysia berupaya memulakan operasi meja permainan dan mesin slot kasino penuh dalam tempoh enam bulan selepas memperoleh lesen, dengan unjuran sumbangan hasil cukai kepada negeri New York seawal Julai 2026.
Lembaga pelesenan itu menyasarkan tarikh 31 Disember 2025 sebagai tarikh pengeluaran lesen.
Dalam masa yang sama, tawaran penswastaan oleh Genting terhadap Genting Malaysia pada harga RM2.35 sesaham turut berakhir pada Isnin, selepas dilanjutkan daripada tarikh asal 24 November.
Tawaran itu telah menjadi tanpa syarat selepas Genting dan pihak yang bertindak secara bersama melepasi paras 50% pegangan pada 3 November.
Ketika tawaran dilancarkan pada 13 Oktober, Genting memegang 49.36% kepentingan.
Setakat 28 November, pemfailan di Bursa Malaysia menunjukkan pegangan langsung Genting meningkat kepada 64.1% hasil pembelian pasaran terbuka dan penerimaan tawaran.
Beberapa firma penyelidikan berpandangan harga RM2.35 itu menyusut nilai sebenar Genting Malaysia, mengambil kira potensi lonjakan nilai sekiranya bidaan kasino New York berjaya, di samping nilai terpendam tanah di Miami dan kemungkinan pelupusan aset.
Namun, terdapat juga pandangan berhati-hati yang menekankan peningkatan kos operasi, kerugian berpanjangan Empire Resorts, serta keperluan perbelanjaan modal besar bagi projek New York sebagai faktor yang wajar dipertimbangkan oleh pemegang saham untuk keluar.
Dari sudut kedudukan kewangan, pinjaman bersih Genting Malaysia telah meningkat lebih tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun, manakala penganalisis menjangkakan Empire Resorts kekal mencatatkan kerugian untuk beberapa tahun lagi.
Saham Genting Malaysia dibuka tidak berubah pada RM2.35, mengekalkan permodalan pasaran kumpulan pada RM14 bilion, dalam suasana pasaran yang kini menanti dua keputusan besar iaitu lesen kasino New York dan penutupan tawaran penswastaan. - DagangNews.com








