KUALA LUMPUR 3 Mac - Betamek Berhad, secara rasmi membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) baharunya di Rawang, Selangor.
Penubuhan pusat R&D canggih itu seiring dengan usaha berterusan Betamek untuk memperkukuhkan kemampuan daya cipta tempatan dan memacu teknologi automotif generasi akan datang.
Dilengkapi dengan makmal terkini dan ruang kerja yang lengkap, kemudahan tersebut direka untuk mempercepatkan penyelidikan dalam telematik, aplikasi mobiliti berhubung IoT dan rumusan sensor maju, untuk memenuhi keperluan industri automotif yang sentiasa berubah.
Pengembangan R&D Betamek juga sejajar dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020, dalam menjadikan Malaysia sebagai hub serantau untuk penyelidikan, pembangunan dan inovasi automotif.

Dengan memanfaatkan kemajuan terkini dalam elektronik automotif, kemudahan baharu berkenaan akan menjadi pemangkin bagi pertumbuhan industri, memupuk kerjasama dengan pemegang kepentingan utama, termasuk pengeluar automotif, rakan teknologi dan institusi akademik.
Pengerusi Betamek, Ahmad Subri Abdullah berkata, pembukaan kemudahan itu bukan sekadar pelancaran sebuah bangunan baharu, ia adalah bukti visi Betamek untuk memacu kecemerlangan teknologi dalam sektor automotif Malaysia.
"Dengan pelancaran rasmi kemudahan R&D canggih ini, kami mengukuhkan komitmen untuk memacu inovasi, menyokong cita-cita automotif Malaysia dan memberi kesan yang berkekalan kepada industri.
"Ini bukan sekadar pencapaian bagi Betamek, tetapi adalah langkah berani ke arah perjalanan Malaysia untuk menjadi peneraju dalam teknologi automotif," katanya dalam satu kenyataan.
Pusat R&D tersebut dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, di sini hari ini.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengucapkan tahniah kepada Betamek Berhad atas komitmen terhadap inovasi dan langkah berani untuk mengukuhkan keupayaan industri Malaysia.
"Kemudahan ini bukan sahaja mewakili fasa baharu untuk syarikat, tetapi juga satu langkah besar dalam perjalanan Malaysia untuk menjadi ekonomi berteknologi tinggi dan bernilai tinggi.
"Dengan industri automotif yang kian berubah ke arah pengangkutan pintar, pusat R&D Betamek ini akan memainkan peranan penting dalam pembangunan sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS), rumusan ketersambungan kenderaan dan teknologi kokpit pintar," ujarnya.
Jelas beliau, kemudahan tersebut dijangka meningkatkan keupayaan Malaysia untuk membangunkan inovasi automotif tempatan, memastikan pemain tempatan kekal berdaya saing di pasaran global yang berkembang pesat.
Dengan inisiatif baharu berkenaan, Betamek mengukuhkan peranannya sebagai peneraju industri dalam teknologi automotif, memacu inovasi dan menetapkan piawaian baharu untuk masa depan pengangkutan di Malaysia. - DagangNews.com








