Betamek catat peningkatan hasil 28.7% kepada RM72.5 juta pada 2QFY2026 disokong pesanan Perodua | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Betamek catat peningkatan hasil 28.7% kepada RM72.5 juta pada 2QFY2026 disokong pesanan Perodua

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Nov – Betamek Berhad, pengeluar elektronik untuk industri automotif mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 28.7% kepada RM72.5 juta pada suku kedua berakhir 30 September 2025  (2QFY2026) berbanding RM56.3 juta pada suku kedua tahun sebelumnya,

 

Prestasi positif itu disokong oleh peningkatan jualan daripada pelanggan domestik dan eksport, margin yang bertambah baik serta kecekapan operasi yang dipertingkatkan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Betamek berkata, keuntungan sebelum cukai (PBT) syarikat juga meningkat 74.5 peratus kepada RM12.5 juta. 

 

“Peningkatan ini disokong oleh pesanan dari Perodua untuk produk audio, visual dan aksesori kenderaan, serta komponen baharu untuk model kenderaan elektrik yang akan datang. 

 

“Segmen eksport ke Jepun dan Hong Kong menyumbang kira-kira 6.8 peratus bagi tempoh yang sama. 

 

“Keuntungan kasar meningkat 73.7 peratus kepada RM16.5 juta, dengan margin kasar bertambah kepada 22.7 peratus daripada 16.8 peratus setahun sebelumnya,” kata Betamek dalam makluman tersebut.

 

Secara suku ke suku, hasil meningkat 27.4 peratus daripada RM56.9 juta pada suku pertama FY2026, manakala PBT melonjak 74.5 peratus daripada RM7.2 juta kepada RM12.5 juta, disokong oleh pengurusan kos yang lebih baik, leverage operasi dan pergerakan pertukaran asing yang menguntungkan.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama FY2026, hasil syarikat meningkat 21.7 peratus kepada RM129.4 juta berbanding RM106.3 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, dengan PBT meningkat 3.5 peratus kepada RM19.7 juta dan keuntungan bersih naik kepada RM15.8 juta berbanding RM15.3 juta.

 

Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1.25 sen seunit saham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, yang akan dibayar pada 12 Disember 2025 kepada pemegang saham yang tersenarai pada 2 Disember 2025.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, keputusan suku kedua mengukuhkan ketahanan operasi syarikat dan keupayaan berkembang secara lestari. 

 

“Peningkatan margin menunjukkan kejayaan integrasi Sanshin (Malaysia) Sdn. Bhd. dan peningkatan sumbangan daripada pasaran eksport. 

 

“Syarikat juga terus menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti elektrik dan teknologi kenderaan pintar,” katanya.

 

Setakat 30 September 2025, Betamek mencatatkan jumlah aset RM216.3 juta dengan aset bersih per saham RM0.34, manakala tunai dan baki bank meningkat kepada RM72.7 juta, disokong oleh aliran tunai operasi RM29.1 juta.

 

Melangkah ke hadapan, syarikat kekal optimis dengan permintaan automotif yang stabil dan pelancaran model kenderaan baharu. 

 

Betamek juga terus melabur dalam prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus dengan pengeluaran cekap tenaga, sumber bertanggungjawab dan teknologi pintar untuk menyokong mobiliti lestari di Malaysia.- DagangNews.com