Bersedia hadapi peningkatan kos bahan api untuk jana elektrik, kata CEO Suruhanjaya Tenaga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bersedia hadapi peningkatan kos bahan api untuk jana elektrik, kata CEO Suruhanjaya Tenaga

KUALA LUMPUR 1 April - Malaysia perlu bersedia berdepan peningkatan kos bahan api bagi penjanaan elektrik susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada pasaran tenaga global.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Siti Safinah Salleh berkata, kira-kira 80% kos gas asli bagi penjanaan elektrik negara masih dilindungi kerana bergantung kepada sumber domestik.

 

Namun, baki 20% yang diimport menyebabkan Malaysia masih terdedah kepada turun naik harga global.

 

 

 

 

 

 

“Masih terdapat kesan kerana ia berkait dengan Harga Rujukan Pasaran (MRP). Walaupun terdapat had siling, kesan terhadap harga tetap wujud,” katanya pada sidang media sempena Kajian Kawal Selia Tahunan Suruhanjaya Tenaga.

 

Beliau menjelaskan, sebahagian besar bekalan bahan api negara diperoleh dari Australia menerusi kontrak jangka panjang, namun harga masih diindeks kepada pasaran minyak global.

 

Pada masa sama, Suruhanjaya turut memantau pergerakan harga arang batu yang menyumbang 58.5% kepada penjanaan elektrik negara, berbanding gas asli sebanyak 33.5%.

 

Menurut Siti Safinah, trend kenaikan harga arang batu mula dikesan meskipun belum menunjukkan lonjakan mendadak.

 

“Malaysia mengimport sepenuhnya arang batu untuk penjanaan elektrik. Walaupun terdapat mekanisme perlindungan, kita perlu bersedia menghadapi peningkatan kos bahan api,” katanya lapor New Straits Times.

 

Malaysia mendapatkan kira-kira 65% bekalan arang batu dari Indonesia dan sekitar 20% dari Australia, manakala selebihnya dari negara lain.

 

Dalam pada itu, Suruhanjaya menjangkakan pelarasan kos bahan api akan berlaku dalam masa terdekat apabila kos tersebut diserap ke dalam sistem.

 

Katanya, peningkatan kos itu akan disalurkan kepada pengguna menerusi mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA).

 

 

 

 

 

 

 

“Jika kos meningkat, pengguna perlu menanggung caj tambahan. Pelarasan dibuat setiap bulan selagi perubahan kos berada dalam ambang 10%.

 

“Sekiranya melebihi 10%, kelulusan kerajaan diperlukan dan pelaksanaannya tertakluk kepada keputusan kerajaan,” katanya. - DagangNews.com