KUALA LUMPUR 24 Mac – CGS International menaik taraf saranan saham Bermaz Auto Berhad daripada Reduce kepada Hold, dengan harga sasaran baharu RM0.94, berikutan prospek keuntungan syarikat yang semakin baik.
Firma penyelidikan itu berkata pemulihan jualan Mazda 3 menjadi faktor utama yang menyokong pandangan positif itu.
“Varian baharu 1.5L yang dilancarkan Oktober 2025 dijual pada harga lebih kompetitif sekitar RM120,000.
“Jumlah tempahan Mazda setakat Mac 2026 dianggarkan kira-kira 3,500 unit, dengan 70 peratus daripadanya adalah Mazda 3, menunjukkan permintaan yang tinggi di pasaran.
“Selain itu, penamatan pengedaran Kia membolehkan Bermaz menstruktur semula kos operasi, selepas mencatat kerugian RM7.5 juta pada FY25,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
Dengan strategi harga lebih kompetitif, syarikat dijangka mengurangkan kos insentif dan promosi, seterusnya menyokong margin keuntungan dan pulangan ke atas ekuiti (ROE).
Bermaz mengekalkan kedudukan tunai kukuh sebanyak RM305 juta atau 26 sen sesaham, bersamaan kira-kira 30 peratus daripada nilai pasaran syarikat, yang memberi ruang untuk pembayaran dividen stabil.
CGSI berkata EPS normal dijangka meningkat daripada 6 sen pada FY26F kepada 10 sen pada FY28F, dengan dividen dijangka sekitar 6 peratus setahun dan kadar agihan dividen (payout ratio) antara 60 hingga 85 peratus.
Bermaz juga merupakan pengedar eksklusif XPeng di Malaysia, dengan kilang EV tempatan dijangka mula beroperasi pada 2026 bagi memperbaiki pengurusan inventori dan mengekalkan margin.
Namun CGSI berkata persaingan daripada jenama China menjadi cabaran utama untuk Bermaz, terutamanya di Malaysia dan Filipina, walaupun sekatan kerajaan terhadap import EV murah mungkin mengurangkan tekanan persaingan. - DagangNews.com








