KUALA LUMPUR 1 Dis – Prestasi Bermaz Auto Berhad dijangka tidak terjejas secara signifikan meskipun akan menamatkan pengedaran kenderaan Kia di Malaysia bermula 1 Januari 2026, kata MBSB Research.
Mulai tarikh itu, Kia Corporation akan mengambil alih semua operasi jualan, selepas jualan, latihan serta urusan runcit secara langsung di Malaysia melalui Kia Sales Malaysia.
MBSB Research mengekalkan saranan neutral terhadap Bermaz Auto dengan sasaran harga RM0.56, berdasarkan unjuran EPS FY27 dan nisbah PER 6 kali.
Menurut firma penyelidikan itu, sumbangan Kia terhadap keuntungan Bermaz Auto sebelum ini hanya sederhana, antara empat hingga enam peratus, menjadikan perubahan struktur pengedaran ini dianggap tidak akan menjejaskan prestasi keseluruhan syarikat.
ARTIKEL BERKAITAN: Bermaz Auto bukan lagi pengedar kenderaan jenama Kia di Malaysia berkuat kuasa serta-merta
“Kami mengekalkan ramalan kami menjelang keputusan 2QFY26 minggu depan. Harga sasaran kekal pada RM0.56, berdasarkan EPS FY27F dan dipaut pada PER 6.0x (-1.0SD di bawah purata 5-tahun),” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Unit pengedaran Dinamikjaya Motors Sdn Bhd mencatat kerugian RM7.6 juta pada tahun kewangan berakhir April 2025 berikutan jualan menurun kepada 951 unit, sementara unit pengeluaran CKD Kia Malaysia Sdn Bhd juga mencatat kerugian RM0.3 juta pada tempoh sama.
Bagaimanapun, unjuran kewangan Bermaz Auto menunjukkan pertumbuhan positif dalam core PATAMI daripada RM71.8 juta pada FY26 kepada RM113.3 juta pada FY28, manakala EPS dijangka meningkat daripada 6.2 sen kepada 9.8 sen.
MBSB Research berkata, struktur baharu model principal-led oleh Kia dijangka memberi peluang untuk mempercepatkan pengeluaran CKD tempatan pada masa hadapan, walaupun sebarang peningkatan keuntungan bergantung kepada pencapaian volum mencukupi.
“Syarikat juga dijangka mengekalkan dividen yang kompetitif, dengan hasil dividen dijangka antara 7.1 hingga 11.3 peratus sehingga FY28,” katanya. - DagangNews.com








