Bekas setiausaha politik kanan PM antara tiga individu ditahan SPRM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas setiausaha politik kanan PM antara tiga individu ditahan SPRM

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Nov - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bagi membantu siasatan kes tohmahan rasuah membabitkan pemberian wang oleh ahli perniagaan, Albert Tei.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes berkepentingan awam dan siasatan memperincikannya dijalankan segera bagi mengelakkan sebarang manipulasi mana-mana pihak.

 

"Ingin saya tegaskan, kes ini merupakan kes berkepentingan awam dan atas faktor itu SPRM telah menjalankan siasatan dengan kadar segera agar tidak dimanipulasi pihak tertentu.

 

"Ketiga-tiga individu terbabit iaitu Shamsul Iskandar, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing serta seorang wanita, Sofia Rini Buyong telah ditahan untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

 

Katanya, Sofia Rini ditahan pada 27 November 2025, jam 10.30 malam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

 

Menurutnya, Mahkamah Majistret Putrajaya melalui Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin kemudian membenarkan wanita itu direman empat hari hingga 1 Disember 2025.

 

"Sementara itu, Albert Tei yang pada asalnya dijadualkan hadir memberi keterangan pada 1 Disember, diminta tampil lebih awal namun didakwa enggan berbuat demikian.

 

"Albert Tei ditahan pada 28 November 2025, jam 10.15 pagi di rumahnya. Beliau adalah individu paling penting bagi membantu siasatan kes ini," katanya.

 

Tambahnya, SPRM turut menyerahkan notis Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Albert Tei yang memberi kuasa kepada pihak penyiasat untuk menafikan haknya berhubung dengan peguam atau mana-mana pihak lain sepanjang proses tertentu siasatan. - DagangNews.com