Bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Mohd Mokhtar Mohd Shariff dipilih kembali menyertai Lembaga Pengarah Pacific & Orient | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Mohd Mokhtar Mohd Shariff dipilih kembali menyertai Lembaga Pengarah Pacific & Orient

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 Mac — Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff dipilih semula sebagai Pengarah Pacific & Orient Berhad selepas pemegang saham meluluskan usul pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-32.


Resolusi untuk memilih kembali beliau yang bersara mengikut Artikel 77 Perlembagaan syarikat diluluskan menerusi undian dengan sokongan 195.29 juta saham atau 99.9999% daripada jumlah undian.


Beliau merupakan bekas pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pengalaman lebih empat dekad dalam perkhidmatan sebelum bersara sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman pada 2018.


"AGM diadakan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur dengan keputusan pengundian melibatkan tujuh resolusi biasa disahkan firma bebas, Share Polls Sdn Bhd," maklum Pacific & Orient kepada Bursa Malaysia. 


Mohd Mokhtar sepanjang di PDRM, pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Bukit Aman, Ketua Polis Johor, dan Timbalan Ketua Polis Pahang.


Selepas bersara, beliau aktif dalam sektor korporat dengan memegang jawatan tinggi di beberapa syarikat tersenarai awam, selain terlibat dalam bidang tadbir urus korporat serta pengurusan risiko.


Antaranya sebagai Pengerusi TMC Life Sciences Berhad, dan Thomson Medical Group Limited, di samping Pengarah MyEG Services Berhad, South Malaysia Industries Berhad serta Astaka Holdings Limited.


"Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi pengarah, Chan Thye Seng turut dipilih semula sebagai pengarah syarikat selepas resolusi berkaitan diluluskan pemegang saham," jelas Pacific & Orient.


Pada AGM tersebut, pemegang saham juga meluluskan beberapa resolusi lain termasuk pembayaran yuran pengarah bukan eksekutif sehingga RM800,000 serta manfaat dan elaun mesyuarat sehingga RM200,000.


Di samping itu, mereka turut meluluskan pelantikan semula Ernst & Young PLT sebagai juruaudit, serta cadangan pembaharuan mandat bagi pembelian semula saham syarikat. - DagangNews.com