KUALA LUMPUR 17 April - Penganalisis politik James Chai dijangka kembali ke Malaysia pada 28 April ini bagi membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan projek semikonduktor bernilai RM1.11 bilion yang disokong kerajaan.
Siasatan itu turut melibatkan syarikat berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata kepulangan Chai telah dimaklumkan kepada suruhanjaya tersebut, manakala pihak penyiasat turut memberikan taklimat berhubung perkembangan kes.
“Beliau dimaklumkan telah membeli tiket penerbangan sendiri dan boleh menuntut bayaran semula daripada SPRM selepas kembali ke Malaysia.
“Kami hanya memerlukan beliau kembali untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan lanjut. Kami menantikan kepulangannya,” katanya lapor New Straits Times.
Sementara itu, firma guaman Kesavan Advocates and Solicitors yang mewakili Chai memaklumkan bahawa urusan kepulangan tersebut telah dibuat selepas mendapat kelulusan daripada majikannya di London.
SPRM sebelum ini telah mengeluarkan notis mengesan Chai pada 4 Mac 2026, namun peguamnya memaklumkan beliau tidak dapat hadir atas faktor kos perjalanan dan komitmen kerja.
Tempoh lanjutan sehingga 31 Mac kemudiannya telah diberikan.
Setakat ini, seramai 17 saksi telah dirakam keterangan dan pelbagai dokumen penting dikumpulkan, manakala lapan lagi saksi termasuk dari luar negara dijangka dipanggil dalam masa terdekat. - DagangNews.com








