KUALA LUMPUR 30 Jan - Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof, sebagai ahli baharu Majlis Penasihat Syariah (MPS) bank pusat itu.
Dalam kenyataan, BNM berkata, tempoh pelantikan Zabariah selama dua tahun akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026.
Pelantikan ini dibuat menurut seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Dengan pelantikan baharu ini, MPS akan dibarisi oleh sembilan ahli yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang Syariah, kewangan Islam, perakaunan, audit dan undang-undang,
MPS yang dipengerusikan oleh Profesor Datuk Ashraf Md Hashim dari Universiti INCEIF, adalah badan tertinggi dalam undang-undang Islam untuk perniagaan kewangan Islam di Malaysia dan memainkan peranan penting dalam mempromosikan kepastian syariah serta mengekalkan keyakinan awam terhadap industri ini.
Majlis ini juga menasihati BNM mengenai perkara syariah berkaitan aktiviti dan transaksi kewangan Islam bank pusat.
MPS juga berfungsi sebagai penasihat kepada BNM mengenai sebarang isu syariah yang berkaitan dengan aktiviti atau transaksi kewangan Islam yang dijalankan oleh BNM.
Keputusan syariah yang dibuat oleh MPS menjadi sumber rujukan institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi prinsip syariah.
Selain itu, keputusan MPS juga boleh digunakan sebagai rujukan mahkamah dan penimbang tara.
Ahli lain dalam majlis termasuk Ahli Akademik Prof Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali sebagai timbalan pengerusi, Mufti Selangor Datuk Anhar Opir; Ketua Pengurusan Syariah di Permodalan Nasional Bhd, Ahmad Basri Ibrahim dan Perunding Syariah Bebas, Burhanuddin Lukman.
Turut menganggotai MPS ialah Timbalan Presiden Penyelidikan, Institut ISRA, Dr. Marjan Muhammad; Pengarah Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam, Universiti INCEIF, Prof. Dr. Amir Shaharuddin dan Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman. - DagangNews.com,








