Bekas CEO KLCC, Md Shah Mahmood dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Gas Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas CEO KLCC, Md Shah Mahmood dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Gas Malaysia

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 Mac — Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KLCC Property Holdings Berhad, Datuk Md Shah Mahmood dilantik sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Gas Malaysia Berhad.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat utiliti gas tersebut berkata, pelantikan beliau yang mempunyai lebih 32 tahun pengalaman bersama-sama PETRONAS adalah berkuat kuasa hari ini.


Md Shah, 56, kini merupakan CEO PETRONAS Refinery & Petrochemical Corporation Sdn Bhd (PRPC) yang bertanggungjawab menguruskan pembangunan kompleks penapisan dan petrokimia di Pengerang, Johor.


"Beliau pernah terlibat dalam pelbagai peranan kepimpinan yang merangkumi aspek strategi korporat, pembangunan perniagaan, pelaksanaan projek serta operasi hiliran syarikat," kata Gas Malaysia.


Sepanjang kerjayanya, Md Shah pernah menerajui perancangan PETRONAS termasuk penyeliaan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan, penilaian pelaburan baharu serta projek pembangunan baharu.


Beliau juga pernah mengetuai strategi dan pembangunan perniagaan bagi segmen Gas dan Tenaga Baharu PETRONAS, termasuk pelan bagi perniagaan tenaga baharu dan rumusan perniagaan bersepadu.


Selain itu, Md Shah terlibat dalam pelaksanaan beberapa projek tenaga dan infrastruktur utama termasuk Terminal Regasifikasi Gas Asli Cecair (LNG) serta projek solar di beberapa lokasi.


"Pengalaman berkenaan termasuk di Suria KLCC sendiri, di samping stesen PETRONAS Dagangan Berhad Solaris dan projek pengeluar tenaga bebas (IPP) solar di Gebeng, Pahang," jelas Gas Malaysia .


Pada 2021, Md Shah kemudian dilantik pula secara rasmi sebagai CEO Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn Bhd serta CEO KLCC Property Holdings Berhad dan KLCC REIT Management Sdn Bhd di ibu negara.


Di bawah kepimpinannya, pelaksanaan pelan strategi KLCC berjaya memacu pemulihan syarikat yang menyaksikan peningkatan nilai pemegang saham, serta dividen paling tinggi dalam tempoh sedekad.


Menurut Gas Malaysia lagi, Md Shah memiliki Ijazah Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School.


"Beliau tiada sebarang kepentingan dalam sekuriti Gas Malaysia serta tidak ada hubungan kekeluargaan dengan mana-mana pengarah atau pemegang saham utama," katanya. - DagangNews.com