Beban hutang tinggi kekal cabaran utama perbelanjaan pengguna Malaysia pada 2026 - BMI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Beban hutang tinggi kekal cabaran utama perbelanjaan pengguna Malaysia pada 2026 - BMI

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 Julai — Beban hutang isi rumah yang tinggi dan kos pembayaran balik pinjaman dijangka terus menjadi cabaran utama kepada perbelanjaan pengguna Malaysia pada 2026, kata BMI.

 

Ia namun berpandangan daya tahan ekonomi negara, pasaran buruh yang kukuh serta pertumbuhan gaji sebenar terus mengatasi inflasi akan terus menyokong tahap peningkatan penggunaan domestik.

 

Syarikat di bawah firma penyelidikan antarabangsa Fitch Solutions itu mengunjurkan perbelanjaan isi rumah Malaysia meningkat kira-kira 4.2% dalam terma sebenar kepada RM1.10 trilion pada tahun ini.

 

"Angka tersebut jauh melepasi paras sebelum wabak Covid-19 hanya sebanyak RM779.7 bilion yang pernah direkodkan pada 2019, dengan momentum pertumbuhan dijangka berterusan pada 2027," jelasnya.

 

Perkembangan positif berkenaan tambah BMI, didorong faktor perbelanjaan isi rumah yang diunjurkan berkembang kira-kira 4.1% kepada RM1.14 trilion, serta asas ekonomi domestik terus kukuh.

 

Menurutnya, pasaran buruh yang ketat akan terus menyokong kuasa beli pengguna apabila pertumbuhan gaji sebenar dijangka kekal lebih tinggi daripada kadar inflasi sepanjang tempoh tinjauan tersebut.

 

PKS_DagangNews2026

 

Bagaimanapun ujar firma tersebut dalam analisisnya, tahap tinggi hutang isi rumah dan komitmen pembayaran balik pinjaman akan terus menjadi faktor yang mengehadkan peningkatan perbelanjaan.

 

"Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% sepanjang tahun, dan kami turut mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang purata 4.3% pada 2026," kata BMI.

 

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) namun jelasnya, dijangka mampu berkembang sekitar 4.0% pada tahun depan, sekali gus memberikan sokongan berterusan kepada aktiviti penggunaan domestik.

 

Peningkatan hasil berkaitan petroleum serta dividen daripada PETRONAS diunjur mampu mengimbangi kenaikan kos subsidi kerajaan, sekali gus mengukuhkan komitmen terhadap usaha penyatuan fiskal.

 

Langkah itu ujar BMI, menyebabkan dasar fiskal menjadi lebih ketat, dan kemungkinan mengurangkan pendapatan boleh guna isi rumah di samping sedikit mengekang pertumbuhan perbelanjaan pengguna.

 

"Dari segi pasaran buruh, kami menjangkakan kadar pengangguran kekal rendah purata 3.1% bagi 2026 dan 2027, disokong pelaburan asing, serta pemulihan sektor pelancongan dan pembuatan," jelasnya.

 

Ia namun mengingatkan prospek penggunaan domestik boleh lemah jika ekonomi global merosot ketara yang berpotensi meningkatkan pengangguran dan menjejaskan keyakinan pengguna. - DagangNews.com