KUALA LUMPUR 20 Julai – Batu Kawan Berhad mengambil langkah strategik mengukuhkan penguasaan dalam MKH Berhad apabila bercadang memperoleh tambahan lagi 18.1% ekuiti bernilai RM208.9 juta.
Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, perkembangan terbaharu itu sekali gus mencetuskan usaha tawaran pengambilalihan mandatori (MGO) terhadap baki saham syarikat berkenaan.
Cadangan tersebut ujarnya, akan dibentangkannya untuk kelulusan pemegang saham ketika Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kumpulan itu yang dijadualkan berlangsung di Ipoh, Perak pada 5 Ogos 2026.
"Usul ini melibatkan anak syarikat Batu Kawan, Whitmore Holdings Sdn Bhd, memperoleh 104.43 juta saham MKH, mewakili 18.1% ekuiti, dengan harga RM2.00 sesaham daripada beberapa vendor," jelasnya.
Nilai keseluruhan pemerolehan tersebut tambahnya, berjumlah kira-kira RM208.9 juta, selaras dengan terma perjanjian jual beli saham (SSA) secara bersyarat yang dimeterai kedua-dua pihak pada 20 Mei 2026.
Setakat 30 Jun 2026, Whitmore memiliki sebanyak 30.6% kepentingan langsung dalam MKH dan pegangan tersebut dijangka meningkat kepada kira-kira 48.7% selepas urus niaga berkenaan disempurnakan.

Susulan peningkatan pegangan itu, Whitmore ujar Batu Kawan, diwajibkan untuk melancarkan MGO ke atas semua baki saham MKH belum dimilikinya, di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
"Tawaran mandatori ini dibuat secara tunai pada harga RM2.00 sesaham, tertakluk kepada sebarang pelarasan berkaitan dividen atau pengagihan lain yang diumumkan sebelum tawaran ditutup," katanya.
Selain itu, jika tawaran tersebut menjadi tidak bersyarat pula, Whitmore turut diwajibkan membuat tawaran pengambilalihan terhadap baki saham mengundi MKH Oil Palm (East Kalimantan) Berhad (MKHOP).
Tawaran bagi MKHOP akan dibuat pada harga tunai 66 sen sesaham, memandangkan syarikat itu merupakan anak syarikat penting MKH yang menyumbang lebih 50% daripada pendapatan kumpulan.
Batu Kawan turut memohon mandat pemegang saham memberi kuasa kepada lembaga pengarah melaksanakan semua tindakan yang perlu untuk menyempurnakan cadangan tersebut, termasuk melanjutkan tempoh.
"Pekeliling kepada pemegang saham bertarikh 20 Julai 2026 mengandungi maklumat terperinci mengenai dan mereka disaran meneliti kandungannya sebelum mengundi pada EGM nanti," katanya. - DagangNews.com








