Batik Air perkenal laluan baharu KK-Kuching, KK-Sandakan bermula 15 Disember ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Batik Air perkenal laluan baharu KK-Kuching, KK-Sandakan bermula 15 Disember ini

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 24 NovBatik Air mengumumkan perluasan rangkaian domestik dengan memperkenalkan dua laluan terus baharu melibatkan Kota Kinabalu–Kuching (BKI–KCH) dan Kota Kinabalu–Sandakan (BKI–SDK) yang akan bermula 15 Disember 2025, sekali gus memantapkan peranan Kota Kinabalu sebagai hab utara Borneo.

 

Menurut syarikat itu, kedua-dua laluan yang menawarkan tujuh penerbangan seminggu masing-masing dijangka merancakkan aliran trafik antara Sabah dan Sarawak, didorong pertumbuhan permintaan perjalanan intra wilayah serta persediaan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). 

 

Laluan baharu ini turut dilihat meningkatkan pelancongan domestik, memperkukuh perjalanan perniagaan dan mewujudkan rangkaian lebih efisien antara bandar-bandar utama di Borneo.

 

Batik Air dalam kenyataan hari ini berkata, sambungan terus ke Kuching, yang terkenal dengan warisan budaya, sejarah dan gastronomi, akan menggalakkan pergerakan lebih dinamik antara kedua-dua negeri, seterusnya menyokong aktiviti ekonomi dan kerjasama rentas wilayah. 

 

Sementara itu, laluan terus ke Sandakan iaitu pintu masuk penting kepada tarikan eko-pelancongan dan pemuliharaan hidupan liar, akan meningkatkan akses pelancong serta memudahkan mobiliti komuniti tempatan.

 

Sejajar dengan komitmen memperkukuh rangkaian di Malaysia Timur, syarikat itu turut memanjangkan kempen ‘Family Vacay Starts at Borneo’ yang menawarkan tambang sehala all-in serendah RM69 ke destinasi utama di Sabah dan Sarawak. 

 

Tempahan dibuka sehingga 30 November 2025 bagi perjalanan sehingga 30 Januari 2026.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, syarikat gembira memperkenalkan penerbangan terus baharu itu yang mencerminkan komitmen untuk menyokong keperluan perjalanan yang semakin meningkat di Sabah dan Sarawak.

 

Beliau berkata, memperkukuh sambungan dalam Borneo adalah keutamaan dan Kota Kinabalu sebagai hab operasi serantau di Malaysia Timur akan terus memudahkan akses antara destinasi penting serta meningkatkan keselesaan tetamu.

 

Syarikat itu tambahnya, memberi tumpuan membangunkan rangkaian komprehensif di Malaysia Timur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan pembangunan pelancongan.

 

“Dengan menghubungkan bandar-bandar utama secara lebih efektif, kami berhasrat membuka peluang baharu dalam perniagaan, pertukaran budaya dan pengalaman perjalanan di seluruh rantau, sekali gus mengukuhkan Sabah dan Sarawak sebagai destinasi dinamik untuk semua pelawat,” katanya.

 

Menurut Batik Air, pengembangan rangkaian akan diteruskan dengan penerbangan terus Kota Kinabalu–Singapura (BKI–SIN) bermula 12 Februari 2026, melengkapkan capaian antarabangsa selain perkhidmatan tiga kali seminggu BKI–ICN ke Seoul (Incheon), Korea Selatan, yang sudah pun beroperasi. - DagangNews.com