KUALA LUMPUR 20 Feb — Syarikat Batik Air berhasrat meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi global utama untuk pesakit antarabangsa datang dan memperkasakan sektor pelancongan penjagaan kesihatan menerusi rangkaian penerbangan serantaunya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chandran Rama Muthy menyatakan keyakinan itu bakal mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai hab pelancongan penjagaan kesihatan global dengan memastikan pesakit sebagai penumpangnya menikmati perjalanan udara yang lancar.
"Pada tempoh separuh pertama 2024, industri pelancongan kesihatan Malaysia berjaya mencatatkan 584,468 ketibaan pelancong kesihatan dengan Indonesia sebagai penyumbang tertinggi kerana ada kemudahan banyak penerbangan yang amat mudah diakses," jelasnya.
Beliau menyatakan demikian pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) untuk perkongsian strategik dengan Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) yang diwakili sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohamed Ali Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Chandran berkata, melalui rangkaian destinasi luas Batik Air terutama di Indonesia, perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang berkualiti di Malaysia akan menjadi lebih mudah kepada pesakit untuk berkunjung tanpa masalah besar.
Setakat ini, Batik Air yang diuruskan Malindo Airways Sdn Bhd, kerap terbang ulang-alik dari ibu kota republik tersebut iaitu Jakarta selain bandar-bandar besar di Surabaya, Medan, Bali, Batam, Lombok, Padang, Pekanbaru, Yogyakarta, Makassar, dan Banda Aceh.
"Kami memang sedang rancang untuk mengukuhkan perkongsian ini dengan berkembang ke lebih banyak destinasi, meningkatkan kesalinghubungan, dan memastikan akses lebih luas untuk pesakit antarabangsa yang mendapatkan rawatan perubatan di Malaysia," katanya.
Chandran menambah, kerjasama dengan MHTC adalah langkah pertama dalam mempromosikan perjalanan penjagaan kesihatan di seluruh Indonesia melalui penerbangan Batik Air agar pelancong terbabit mendapatkan apa-apa rawatan perubatan terbaik di Malaysia.
Langkah itu juga ujarnya, sejajar dengan persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui inisiatif MHTC di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan terkemuka antarabangsa.
Batik Air juga katanya, akan memanfaatkan segala rangkaian destinasi serantaunya untuk menawarkan sambungan penerbangan lancar untuk pelancong perubatan sambil menyediakan peluang pengiklanan jenama bersama dan pakej pelancongan eksklusif.
"Pesakit dengan bukti temujanji hospital akan menikmati keutamaan penginapan manakala MHTC membangunkan bahan promosi pemasaran bersama untuk meningkatkan kesedaran global mengenai kemudahan fasiliti kesihatan Malaysia bertaraf dunia," tambah Chandran. - DagangNews.com








