KUALA LUMPUR 2 Jan - British American Tobacco (Malaysia) Bhd atau BAT Malaysia melantik bekas Ketua Pengarah dan CEO Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Mohd Nizom Sairi sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif yang baharu.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat itu berkata Mohd Nizom, 64, menggantikan Tan Sri Aseh Che Mat yang bersara selepas sembilan tahun menerajui lembaga pengarah, selaras dengan keperluan tadbir urus BAT Malaysia.
Mohd Nizom mula menyertai lembaga pengarah BAT Malaysia sebagai pengarah bebas bukan eksekutif pada 1 Okt 2025 sebelum dilantik ke jawatan pengerusi.
Beliau membawa hampir empat dekad pengalaman dalam perkhidmatan awam, khususnya dalam bidang tadbir urus dan dasar percukaian, selepas berkhidmat selama 38 tahun bersama LHDN. Kerjayanya memuncak apabila dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarah LHDN dari 2021 sehingga persaraannya pada penghujung 2023.
Menurut BAT Malaysia, kepakaran luas Mohd Nizom dalam aspek kawal selia dan tadbir urus dijangka memperkukuh peranan lembaga pengarah dalam pengawasan serta hala tuju strategik syarikat.
Mohd Nizom memiliki ijazah sarjana dalam pengurusan sistem maklumat dari Lawrence Technological University di Michigan, Amerika Syarikat, serta ijazah sarjana muda sains dari Laurentian University di Ontario, Kanada.
Selain peranannya di BAT Malaysia, beliau kini berkhidmat sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif Varia Bhd dan pengarah bebas bukan eksekutif Jati Tinggi Group Bhd. - DagangNews.com








