Barisan kepimpinan MAHB diperkemaskan, jawatan ketua pegawai lapangan terbang diwujudkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Barisan kepimpinan MAHB diperkemaskan, jawatan ketua pegawai lapangan terbang diwujudkan

KUALA LUMPUR 1 Julai - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) membuat penyusunan semula kepimpinan kanan syarikat susulan penswastaan operator lapangan terbang itu oleh Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA).

 

Konsortium di sebalik GDA terdiri daripada dana kekayaan negara Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Abu Dhabi Investment Authority (Adia), dan Global Infrastructure Partners LLC (GIP) yang berpangkalan di New York.

 

Bagi memastikan kepimpinan menyeluruh dan kesepaduan operasi di 39 lapangan terbang di seluruh negara yang berada di bawah pengurusannya, MAHB telah mewujudkan satu jawatan baharu — ketua pegawai lapangan terbang (CAO), satu peranan yang merangkumi penyeliaan dan penyepaduan fungsi teras operasi dan pembangunan lapangan terbang di seluruh rangkaian kumpulan.

 

 

 

 

MAHB telah melantik Bryan John Thompson ke jawatan baharu ini yang berkuat kuasa mulai 9 Mei lalu. Thompson melapor terus kepada pengarah urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani.

 

Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula organisasi, beberapa eksekutif kanan — Ketua Pegawai Operasi MA (Sepang) Sdn Bhd, Gordon Andrew Stewart; COO Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB), Kamaruzzaman Razali; Ketua Pegawai Penerbangan dan Strategi, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin; serta Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial, Hani Ezra Hussin — telah diarahkan untuk melapor terus kepada CAO, menurut pekeliling dalaman yang dilihat The Edge.

 

ahb
Bryan John Thompson

 

Dalam pekeliling kepada kakitangannya, MAHB menyatakan, selepas penswastaan itu, syarikat sedang memasuki fasa baharu transformasi.

 

“Bagi memacu transformasi ini, kami sedang melaksanakan penyesuaian semula struktur organisasi. Ini melibatkan fokus terhadap operasi teras lapangan terbang, meningkatkan integrasi merentas fungsi sokongan, dan membina keupayaan pelaksanaan yang lebih kukuh di seluruh rangkaian," kata pekeliling itu.

 

Thompson sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Abu Dhabi Airports dan pengarah eksekutif di Neom Bay Airport di Arab Saudi. Beliau membawa lebih 30 tahun pengalaman dalam mengetuai operasi lapangan terbang dan program transformasi di Australia, New Zealand dan Asia Barat.

 

Sebagai CAO, tanggungjawab Thompson merangkumi kepimpinan langsung ke atas operasi MA Sepang dan MASB, serta penjajaran strategik dengan bahagian komersial dan strategi kumpulan, menurut MAHB. 

 

“Mandat beliau adalah untuk meningkatkan prestasi operasi, pengalaman penumpang, keselamatan menyeluruh rangkaian dan penyampaian perkhidmatan. Untuk menyokong perkara ini, satu jabatan pematuhan aerodrom baharu juga akan diwujudkan di bawah bidang kuasa CAO, sebagai usaha memperkukuh komitmen kami terhadap kecemerlangan peraturan dan integriti operasi.”

 

Semua fungsi lain di bawah struktur operasi sebelum ini — termasuk keselamatan penerbangan, perkhidmatan bomba dan penyelamatan lapangan terbang serta perkhidmatan teknikal, selain entiti Urusan Teknologi Wawasan Sdn Bhd (UTW) — juga akan disusun semula di bawah kepimpinan CAO.

 

Bagi menyokong transformasi syarikat dan menyuntik pandangan baharu dalam operasinya, MAHB turut mengumumkan pelantikan tiga individu — Adam Wilson, Ben Nolan dan Richard Townsend — yang akan melapor kepada CAO dalam kapasiti penasihat di bawah projek khas. Portfolio projek khas di bawah CAO akan merangkumi pemacu utama operasi seperti pejabat pelanggan, sistem transit trek (TTS) dan sistem pengendalian bagasi (BHS).

 

Wilson akan memberi nasihat strategik mengenai pengoptimuman operasi dan piawaian keselamatan di semua lapangan terbang MAHB, menurut pekeliling tersebut.

 

Wilson sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai COO di Lapangan Terbang Edinburgh dan jawatan operasi kanan di Lapangan Terbang Heathrow, London. Beliau juga pernah memegang jawatan kanan operasi di UK dan Asia Barat.

 

Nolan pula pernah memegang jawatan kanan kewangan di lapangan terbang (Gatwick Airport Ltd), pelabuhan laut dan infrastruktur rel. 

 

Beliau akan memberi nasihat berkaitan strategi kewangan, perancangan pelaburan dan penilaian daya maju komersial. Fokus beliau adalah terhadap analisis data, dengan kerjasama merentas pasukan korporat dan operasi, kata MAHB.

 

Sementara itu, Townsend — yang sebelum ini berkhidmat di Lapangan Terbang Heathrow, Gatwick dan Edinburgh — telah menerajui inisiatif utama dalam pengembangan runcit, pertumbuhan hasil bukan aeronautik dan pengalaman penumpang. Townsend akan menyokong pembangunan dan penambahbaikan strategi komersial MAHB.

 

Pada Februari tahun ini, MAHB telah diswastakan oleh konsortium GDA pada nilai RM12.3 bilion, atau RM11 sesaham. Susulan penswastaan tersebut, Khazanah dan KWSP kini bersama-sama memegang 70% pegangan dalam MAHB, manakala baki 30% dimiliki oleh Adia dan GIP.- DagangNews.com