Bantuan SARA RM100 diagihkan bermula 9 Februari 2026 – MoF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bantuan SARA RM100 diagihkan bermula 9 Februari 2026 – MoF

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Feb – Orang ramai boleh mula menyemak kelayakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) hari ini melalui portal rasmi di [sara.gov.my](https://sara.gov.my) bagi memastikan bayaran RM100 secara one-off dapat dikreditkan ke MyKad masing-masing pada 9 Februari 2026.

 

Menurut Kementerian Kewangan, program ini melibatkan 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas termasuk penerima SARA bulanan. 

 

Inisiatif ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk meringankan kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

 

“Penerima layak adalah warganegara Malaysia pemegang MyKad berumur 18 tahun ke atas. 

 

“Semakan kelayakan adalah langkah penting supaya bayaran RM100 dapat diterima tanpa sebarang masalah pada tarikh yang ditetapkan,” kata Kementerian itu.

 

Orang ramai boleh menyemak kelayakan mereka secara terus di portal rasmi: [https://sara.gov.my](https://sara.gov.my).

 

Bantuan SARA sebanyak RM100 secara one-off ini juga bertujuan meringankan beban kewangan rakyat untuk persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.

 

Inisiatif ini mula diperkenalkan pada 31 Ogos 2025 sebagai penghargaan kepada rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan. 

 

Seramai 22 juta warganegara Malaysia, iaitu semua rakyat berumur 18 tahun dan ke atas, berkelayakan menerima kredit one-off tersebut. 

 

SARA untuk semua ialah bantuan one-off yang diberikan kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, tanpa mengira pendapatan. 

 

Bantuan ini berbeza daripada SARA Bulanan, iaitu bantuan barangan asas yang disalurkan setiap bulan mulai 9 Januari 2026 kepada penerima STR dan golongan memerlukan. - DagangNews.com