KUALA LUMPUR 2 April - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) menjelaskan telah mengambil tindakan pembetulan yang sewajarnya susulan notis awam berkaitan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang membawa kepada penalti RM1 juta.
Bank koperasi itu menegaskan isu yang berpunca daripada insiden keselamatan siber pada 2024 telah ditangani dengan mempertingkatkan infrastruktur teknologinya, kawalan keselamatan siber serta proses operasi bagi memperkukuh daya tahan sistem dan melindungi maklumat pelanggan.
“Langkah-langkah ini termasuk penambahbaikan keupayaan pemantauan, pengesanan ancaman serta pengawasan tadbir urus, selaras dengan jangkaan pengawal selia dan amalan industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bank Rakyat turut menegaskan komitmennya untuk memastikan persekitaran perbankan yang selamat dan boleh dipercayai kepada para pelanggannya.
Artikel Berkaitan: BNM denda Bank Rakyat RM1 juta kerana isu keselamatan siber, gagal lindungi maklumat pelanggan
Terdahulu BNM mengenakan AMP sebanyak RM1 juta ke atas Bank Rakyat berhubung pelanggaran melibatkan keselamatan siber dan perlindungan maklumat pelanggan pada 20 Januari 2026.
Bank pusat itu berkata Bank Rakyat gagal melaksanakan piawaian keselamatan siber yang kukuh seperti yang dikehendaki di bawah dokumen dasar pengurusan risiko dalam teknologi (RMiT PD).
Bank Rakyat telah membayar sebanyak RM1 juta bagi AMP itu pada 26 Januari 2026 lepas. - DagangNews.com








