Bank Rakyat didenda RM2.850 juta oleh BNM kerana gangguan berpanjangan perkhidmatan bank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Rakyat didenda RM2.850 juta oleh BNM kerana gangguan berpanjangan perkhidmatan bank

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 31 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (PMP) sebanyak RM2,850.000 ke atas Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) kerana gangguan berpanjangan perkhidmatan perbankannya.

 

BNM mendakwa Bank Rakyat mengikut Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (DFIA) dan Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT PD) dibaca bersama perenggan 10.32 dalam RMiT PD yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2023.

 

Di bawah perenggan 10.32 RMiT PD, institusi kewangan dikehendaki memastikan sistem kritikal yang relevan direka bentuk dengan kebolehsediaan tinggi, iaitu:

a) jumlah masa henti tidak dirancang yang menjejaskan antara muka pengguna tidak melebihi empat jam dalam tempoh 12 bulan semasa; dan
b) masa henti maksimum yang boleh diterima adalah 120 minit bagi setiap insiden.

 

Antara 1 Jun 2023 hingga 31 Disember 2024, Bank Rakyat telah mengalami beberapa insiden masa henti tidak dirancang yang menyebabkan gangguan berpanjangan kepada perkhidmatan perbankannya, termasuk saluran perbankan elektronik, Mesin Juruwang Automatik (ATM) serta sistem kad debit dan kredit.

 

Tempoh gangguan ini telah melebihi ambang yang ditetapkan dalam perenggan 10.32 RMiT PD. Ketidakpatuhan ini berpunca daripada kelemahan dalam melaksanakan proses tindak balas dan pemulihan bagi memulihkan sistem yang terganggu dengan segera. Keadaan ini telah menjejaskan ketersediaan perkhidmatan perbankan penting kepada pelanggan dan pihak berurusan.

 

Bank Rakyat kemudiannya telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk meningkatkan keupayaan pemulihan dan memperkukuh infrastruktur IT sebagai sebahagian daripada pelan pelaburan infrastruktur teknologi berbilang tahun bagi mencegah ketidakpatuhan pada masa hadapan.

 

Dalam membuat keputusan untuk mengenakan PMP, BNM telah mengambil kira faktor-faktor yang memburukkan dan meringankan yang relevan, termasuk:

  • kegagalan Bank Rakyat mengambil langkah munasabah untuk mengurangkan insiden masa henti yang membawa kepada ketidakpatuhan;

  • tahap keterukan ketidakpatuhan, termasuk kesan gangguan perkhidmatan kepada pelanggan dan pihak berurusan;

  • rekod pematuhan Bank Rakyat sebelum ini; dan

  • keberkesanan tindakan pembetulan yang diambil untuk mencegah berulangnya pelanggaran.

 

BNM menjangkakan semua institusi kewangan mengekalkan tahap daya tahan teknologi yang tinggi terhadap gangguan operasi bagi memastikan ketersediaan berterusan perkhidmatan kewangan yang penting.

 

BNM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya institusi kewangan gagal memenuhi jangkaan kawal selia.

 

Bank Rakyat telah membayar sejumlah RM2,850,000 bagi PMP yang dikenakan oleh BNM pada 26 Jun 2025.

 

Menurut BNM, tindakan penguatkuasaan terhadap Bank Rakyat ini telah dilaksanakan selaras dengan pendekatan dan proses yang diperincikan dalam Enforcement Approach. - DagangNews.com