KUALA LUMPUR 12 Feb — Bank Negara Malaysia (BNM) bersedia untuk menguruskan isu pergerakan berlebihan dalam ringgit serta menjangkakan aliran masuk oleh firma berkaitan kerajaan dan prospek ekonomi negara untuk menyokong mata wang tempatan itu dalam jangka panjang.
Ringgit sebelum itu dilaporkan telah 'melepaskan' hampir semua keuntungannya dari Januari lalu setelah Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Donald Trump bertindak drastik dengan cuba mengeruhkan pasaran global melalui beberapa siri kenaikan tarif dan levi perdagangan.
Menerusi maklum balas kepada Bloomberg News, BNM menjelaskan bahawa kehadiran bank pusat itu dalam pasaran pertukaran asing adalah bermatlamat untuk menguruskan turun naik yang berlebihan dan pada masa sama turut memastikan keadaan pasaran yang lebih teratur.
"BNM namun kekal berwaspada dan bersedia untuk menyediakan kecairan mengikut keperluan," katanya dan turut menjangka, walaupun sentimen pasaran meningkat ekoran tarif dan ketidaktentuan perdagangan, kesannya kekal tidak menentu kerana perkembangan sangat tidak berubah.
Bagaimanapun, bank tersebut menambah bahawa situasi dinamik mata wang jangka pendek, asas ekonomi Malaysia yang memang kukuh, prospek ekonomi yang positif, dan pembaharuan struktur domestik akan terus memberikan sokongan berterusan kepada kekukuhan ringgit.
Ujar BNM, pelbagai langkah yang diselaraskan oleh pihak kerajaan dan bank pusat itu untuk menggalakkan aliran bersama-sama dengan perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil antara Malaysia dan ekonomi maju menjelang 2026 mungkin memberikan positif kepada ringgit.
BNM telah menggalakkan firma berkaitan kerajaan dan dana pelaburan untuk menghantar pulang pendapatan hasil pelaburan asing dan menukarkannya kepada mata wang tempatan untuk menyokong ringgit selepas ia merosot ke paras terendah 26 tahun pada Februari 2024.
Institusi itu akan terus berbuat demikian memandangkan aset luar BNM yang besar dan ada pendapatan pelaburan berulang. Aset luaran keseluruhan Malaysia setakat suku ketiga 2024 berjumlah kira-kira AS$518 bilion (kira-kira RM2.31 trilion), kata bank pusat itu.
Selain itu jelas BNM, usaha yang diselaraskan telah menghasilkan aliran masuk yang lebih mampan ke dalam pasaran kewangan domestik manakala 'aliran dua hala yang sihat' didapati berjaya dalam menyokong kekuatan ringgit dan meningkatkan kecairan pertukaran asing.
Sejak Februari tahun lalu, purata aliran pertukaran asing harian dalam pasaran dalam negeri telah menunjukkan berlaku peningkatan kepada AS$17.9 bilion (RM80.02 bilion), daripada hanya AS$15.6 bilion (RM69.74 bilion) pada 2023, menurut BNM.
Bank pusat itu berkata, ia juga kerap berhubung dengan pengeksport dan pengimport untuk menggalakkan mereka menguruskan aktiviti pertukaran asing mereka secara 'berhemat' termasuk menukar hasil eksport kepada ringgit dengan lebih tepat pada masanya.
Pengeksport dan pengimport kata BNM, turut dinasihatkan supaya mengamalkan amalan lindung nilai mata wang yang 'berwibawa' namun secara umum, ringgit masih mencatatkan prestasi yang terbaik merentas pasaran baharu muncul sepanjang tahun lepas.
Usaha pihak kerajaan untuk meningkatkan pelaburan dalam industri semikonduktor dan banyak pusat data pelbagai firma diwujudkan di negara ini turut menyumbang kepada perkembangan kebangkitan ekonomi negara dan terus menarik kemasukan pelaburan asing.
Bagaimanapun, BNM berkata, sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, Malaysia tidak akan terlindung daripada langkah-langkah yang akan mengganggu perdagangan global, walaupun eksport dan prospek pertumbuhannya sangat pelbagai akan membantu mengurangkan kesannya.
Eksport Malaysia juga mujur disokong baik oleh trend perdagangan dengan beberapa negara jirannya di Asia Tenggara, yang menyumbang sebanyak 27 peratus daripada keseluruhan jumlah perdagangannya, serta perkembangan kitaran teknologi.
Permintaan dalam negeri, yang menyumbang kira-kira 94 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, kata BNM, akan terus menyokong pertumbuhan Malaysia, dengan disokong oleh penggunaan pihak swasta yang berdaya tahan dan aktiviti pelaburan yang teguh.
Malaysia dijangka mengumumkan laporan ekonomi terakhirnya untuk suku keempat 2024 pada Jumaat ini dengan anggaran awal membayangkan pertumbuhan ekonomi diunjurkan mampu berkembang pada rentak yang lebih perlahan. - DagangNews.com








