Bank Islam umum pelantikan Siti Nur Huda Sufian sebagai CFO kumpulan mulai 1 Ogos 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Islam umum pelantikan Siti Nur Huda Sufian sebagai CFO kumpulan mulai 1 Ogos 2025

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 31 Julai - Bank Islam Malaysia Berhad mengumumkan pelantikan Siti Nur Huda Sufian sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (GCFO) baharu, berkuat kuasa 1 Ogos 2025. Beliau menggantikan Azizan Abd Aziz.

 

Siti Nur Huda menyertai Bank Islam pada tahun 2022 dan sejak itu memainkan peranan penting dalam menerajui inisiatif strategik merentas Perbankan Institusi Kumpulan dan Kewangan Kumpulan.

 

Sebelum pelantikan ini, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kawalan Kewangan Kumpulan.

 

Dengan pengalaman hampir dua dekad merangkumi bidang audit dan jaminan, strategi korporat, kewangan serta perbankan, beliau memulakan kerjaya di PricewaterhouseCoopers (PwC), sebelum memegang beberapa jawatan kepimpinan utama di Maybank Islamic dan Maybank Group Global Banking.

 

Siti Nur Huda merupakan akauntan bertauliah (ICAEW), ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA), dan memiliki ijazah dalam bidang Perakaunan & Kewangan dari University of Southampton.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed berkata, Bank Islam merakamkan penghargaan kepada mantan GCFO, Azizan Abd Aziz, atas sumbangan bermakna, kepimpinan cemerlang dan khidmat luar biasa beliau kepada Kumpulan.

 

“Di bawah kepimpinan beliau, kami berjaya memperkukuh ketahanan fiskal, menavigasi perubahan industri yang kompleks dan menjana nilai jangka panjang kepada para pemegang kepentingan. Kami mendoakan kejayaan beliau dalam perjalanan seterusnya.”

 

“Kami juga berbesar hati mengalu-alukan Siti Nur Huda ke jawatan baharu ini. Dengan pengalaman dan pengetahuan luas yang dimilikinya, kami yakin beliau akan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan Bank Islam,” tambah beliau. - DagangNews.com