Bank Islam, Takaful Malaysia tingkatkan perlindungan kewangan pelanggan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Islam, Takaful Malaysia tingkatkan perlindungan kewangan pelanggan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 21 Mac - Bank Islam Malaysia Berhad dan Takaful Malaysia Keluarga Berhad menjalin kerjasama untuk menyediakan rumusan kewangan yang lebih baik kepada pelanggan menerusi pengenalan produk takaful menyeluruh.

 

Kerjasama jangka panjang itu bertujuan memberi peningkatan perlindungan kewangan kepada pelanggan Bank Islam melalui tawaran produk takaful yang lengkap dan mudah diakses yang diuruskan oleh Takaful Malaysia.

 

Antara produk yang terlibat adalah Takaful mySmart Wealth Plus, Takaful myPrime Cover dan Takaful mySmart Legacy. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Dato‘ Mohd Muazzam Mohamed berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada komitmen berterusan pihaknya untuk menyediakan produk dan perkhidmatan patuh syariah yang relevan.


  
"Pelanggan Bank Islam kini boleh mendapatkan produk takaful yang disediakan Takaful Malaysia melalui semua saluran jualan di cawangan-cawangan Bank Islam di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.


  
Majlis menandatangani perjanjian perkhidmatan Bankatakaful itu diadakan di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur, semalam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal pula berkata, pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Bank Islam dengan menawarkan pelbagai pelan perlindungan patuh syariah dan menyeluruh kepada pelanggan. 

 

"Kami yakin gabungan kepakaran bersama Bank Islam akan meningkatkan portfolio perniagaan kami dalam segmen takaful keluarga dan takaful am. 

 

"Langkah ini sejajar dengan strategi perniagaan kami untuk meneroka peluang baharu dan memperluas jangkauan ke pasaran berpotensi," jelasnya.

 

Tambah beliau, Takaful Malaysia berhasrat menjadi peneraju takaful yang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi juga memperkasakan masyarakat dengan produk perlindungan yang lebih lengkap. - DagangNews.com